KUALA LUMPUR 19 Jun – Kadar tambang pengangkutan laut global dijangka kekal tinggi dalam jangka pendek meskipun ketegangan geopolitik semakin reda susulan perjanjian damai di antara Amerika Syarikat dan Iran baru-baru ini.
Firma penyelidikan Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, ini kerana kerana syarikat perkapalan masih berhati-hati untuk kembali beroperasi sepenuhnya.
Katanya, penurunan ketara kadar tambang dijangka mengambil masa memandangkan pengendali perkapalan masih memerlukan jaminan yang lebih kukuh terhadap keselamatan laluan perdagangan utama sebelum meningkatkan semula kapasiti operasi mereka.
"Walaupun begitu, kos minyak yang lebih rendah dijangka mengurangkan kos operasi kapal dan surcaj bahan api yang dikenakan oleh penyedia logistik, sekali gus menyokong pertumbuhan jumlah penghantaran," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, PublicInvest berkata, syarikat perkapalan termasuk FM Global Holdings Bhd (FM Global) dijangka terus berdepan cabaran dalam jangka pendek susulan tekanan kadar tambang pengangkutan, kelembapan perdagangan global, kos operasi yang tinggi serta ketidaktentuan dasar perdagangan antarabangsa.
Perkembangan Positif
Bagaimanapun, firma penyelidikan melihat beberapa perkembangan positif yang boleh menyokong pemulihan sektor logistik dan perdagangan global, termasuk penurunan harga minyak mentah serta ketegangan geopolitik yang semakin reda.
Menurut firma itu, harga minyak global baru-baru ini jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan susulan kemajuan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, selain langkah Rumah Putih yang dilihat lebih terbuka untuk menawarkan pengecualian dan pengurangan tarif kepada sektor serta negara tertentu.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan FM Global bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028, saranan 'Neutral' dan harga sasaran RM0.60 sesaham.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), FM Global merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM11.2 juta, susut 2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu sejajar dengan penurunan hasil sebanyak 4% berikutan aktiviti perniagaan yang lebih perlahan serta kerugian rosot nilai ke atas penghutang perdagangan.
Firma itu turut menjelaskan bahawa memorandum persefahaman sementara antara AS dan Iran mula memberikan kelegaan kepada pasaran perkapalan global.
Harga minyak yang lebih rendah dijangka membantu mengurangkan kos operasi kapal dan surcaj bahan api yang dikenakan oleh penyedia logistik.
Keadaan itu dijangka menyokong pertumbuhan jumlah penghantaran serta memperbaiki margin operasi syarikat dalam sektor logistik dan pengangkutan.
Dalam jangka panjang, prospek industri pengangkutan global masih positif meskipun pertumbuhan perdagangan dunia dijangka perlahan antara 1.9% hingga 3.1% akibat risiko geopolitik, pemecahan perdagangan dan ketidaktentuan dasar.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan industri pengangkutan akan berkembang antara 5.5% hingga 8% setahun, didorong oleh pertumbuhan pesat e-dagang, pembangunan ekonomi negara-negara membangun serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan blockchain yang semakin meluas dalam sektor logistik. - DagangNews.com








