KUALA LUMPUR 19 Jun - LF Lansen Sdn. Bhd., anak syarikat milik 51% Binastra Corporation Berhad, dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan yang ketara pada tahun kewangan 2027 (FY27), didorong oleh peningkatan permintaan daripada industri pusat data yang berkembang pesat di Malaysia, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan menjangkakan syarikat yang terlibat dalam penyediaan sistem penyimpanan tenaga dan tangki penimbal untuk pusat data itu mampu merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) antara RM15 juta hingga RM20 juta pada FY27.
Unjuran tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding PAT sebanyak RM9.2 juta yang dicatatkan bagi tempoh 10 bulan tahun kewangan 2026 (10MFY26).
Setakat akhir April 2026, LF Lansen mempunyai buku pesanan bernilai RM150 juta yang memberikan keterlihatan pendapatan yang baik untuk tempoh akan datang.
"Kumpulan turut menyasarkan untuk memperoleh dua hingga tiga lagi projek pusat data pada FY27," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Binastra dengan potensi kenaikan harga sekitar 57% daripada paras semasa selain menawarkan hasil dividen kira-kira 5% bagi tahun kewangan 2028.
Firma itu turut menaikkan harga sasaran kepada RM3.10 daripada RM2.72 sebelum ini, disokong oleh pertumbuhan kukuh keuntungan, buku tempahan yang besar serta prospek cerah dalam segmen pusat data dan tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya, keuntungan teras Binastra bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) meningkat 40% tahun ke tahun kepada RM35 juta, didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada projek pemasangan solar dan pusat data.
"Prestasi tersebut mewakili 21% daripada unjuran keuntungan tahunan kami dan dianggap selaras dengan jangkaan kerana kami menjangkakan prestasi yang lebih kukuh pada suku-suku akan datang," katanya.
Firma itu mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan sebanyak 19% bagi tempoh FY26 hingga FY29, disokong oleh buku pesanan tertunggak bernilai RM6.8 bilion setakat akhir April 2026.
Jumlah itu mewakili nisbah perlindungan buku tempahan kepada hasil sebanyak 4.5 kali, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Bagaimanapun, margin bersih teras bagi 1QFY27 susut kepada 5.8% berbanding 9.8% pada tempoh sama tahun lalu kerana projek pusat data dan pemasangan solar lazimnya menawarkan margin lebih rendah sekitar 5% hingga 6%.
Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan dijangka bertambah baik apabila projek pembinaan konvensional di Johor Bahru mula menyumbang dengan lebih ketara dalam suku-suku akan datang. - DagangNews.com








