HAWANA 2026 Pulau Pinang meriah menghimpunkan 1,000 pengamal media Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HAWANA 2026 Pulau Pinang meriah menghimpunkan 1,000 pengamal media Malaysia

Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena yang menjadi lokasi Majlis Kemuncak HAWANA 2026 pada 20 Jun 2026. - Gambar BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

GEORGETOWN 19 Jun - Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena pada Sabtu, dijangka menjadi detik kemuncak yang menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dalam suasana penuh penghargaan dan pengiktirafan, sekali gus menyerikan lagi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini di Pulau Pinang.

 

Acara berprestij itu menjadi tumpuan utama sepanjang penganjuran HAWANA 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dengan pelbagai program dirangka bagi meraikan sumbangan, peranan dan profesionalisme pengamal media dalam landskap penyampaian maklumat negara.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyambut baik penganjuran ini dan menyifatkannya sebagai platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara kerajaan, industri media dan masyarakat.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Komunikasi sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan kelancaran keseluruhan program serta pengalaman terbaik kepada semua peserta dan pengunjung.

 

Beliau berkata selain Majlis Kemuncak, Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena HAWANA 2026 yang berlangsung malam ini bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib turut menambah kemeriahan sambutan di negeri itu.

 

Dengan tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 anjuran Kementerian Komunikasi bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menekankan kepentingan integriti, profesionalisme dan kepercayaan dalam dunia kewartawanan moden.


 

HAWANA

 


Acara Sampingan

Sementara itu, Karnival RIUH Pi HAWANA yang berlangsung serentak di PICCA @ Butterworth Arena dijangka menarik sekitar 30,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik, pameran kreatif serta jualan produk tempatan.

 

Karnival tersebut menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, selain menawarkan pelbagai bengkel interaktif yang membuka peluang kepada orang ramai meneroka dunia kreatif dengan lebih dekat.

 

Acara itu turut dimeriahkan dengan 16 persembahan pentas oleh artis tempatan termasuk Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng, menjadikannya bukan sekadar perhimpunan media tetapi juga festival rakyat yang meriah dan inklusif. 

 

DagangNews.com sebagai rakan strategik kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam penganjuran HAWANA 2026 turut diwakili oleh wartawan kanan Kamaliza Kamaruddin, sekali gus memperkukuh kehadiran media berita ekonomi negara di acara berprestij ini. - DagangNews.com