The Linque pemangkin baharu pertumbuhan segmen hartanah IJM Corp, CIMB Securities kekal saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

The Linque pemangkin baharu pertumbuhan segmen hartanah IJM Corp, CIMB Securities kekal saranan 'Beli'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) The Linque yang dibangunkan oleh IJM Land Bhd bersama MRT Corp Sdn. Bhd. dijangka mengukuhkan lagi kedudukan IJM Corp Bhd dalam pasaran hartanah Lembah Klang.

 

CIMB Securities berkata, selain itu ia juga menyokong strategi kumpulan untuk mempercepatkan penjanaan pendapatan daripada projek-projek berhubung kait dengan infrastruktur pengangkutan awam.

 

Katanya, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta itu selaras dengan peralihan strategik IJM ke arah pembangunan yang mempunyai tempoh pusing ganti lebih pantas sambil memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam pembangunan perbandaran.

 

Menurut firma penyelidikan itu, The Linque merupakan kerjasama pertama antara anak syarikat milik penuh IJM Corp, IJM Land dan MRT Corp, selain menjadi projek TOD pertama MRT Corp di Lembah Klang.

 

"Projek ini sejajar dengan strategi hartanah IJM yang kini memberi tumpuan kepada pembangunan berimpak tinggi dan berlokasi strategik yang mampu menjana pulangan lebih pantas," katanya dalam nota penyelidikan.

 

CIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatan bagi IJM sementara menunggu butiran lanjut mengenai projek tersebut. 

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham IJM dengan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM2.95 sesaham.

 

Sambutan Baik

The Linque akan dibangunkan bersebelahan Stesen MRT Cochrane di Cheras dan merangkumi 586 unit apartmen servis bersama komponen peruncitan.

 

Antara kelebihan utama projek itu ialah sambungan terus ke stesen MRT menerusi lif penumpang yang menghubungkan pembangunan tersebut dengan aras ruang legar stesen.

 

CIMB Securities berkata lokasi projek itu menjadikannya antara pembangunan TOD paling menarik di Kuala Lumpur.

 

Menurutnya, Stesen MRT Cochrane hanya satu hentian dari Stesen MRT Maluri dan Tun Razak Exchange (TRX), selain terletak berhampiran hab komersial utama seperti The Exchange TRX, MyTown, IKEA dan Sunway Velocity.

 

"Kedudukan strategik itu turut disokong oleh akses kepada kemudahan kesihatan, institusi pendidikan serta rangkaian pengangkutan awam yang lengkap menerusi pertukaran antara Laluan MRT Kajang dan LRT Ampang di Stesen Maluri," katanya.

 

Walaupun harga jualan rasmi masih belum diumumkan, CIMB Securities menjangkakan projek itu akan mendapat sambutan baik berdasarkan penanda aras hartanah di kawasan berkenaan.

 

Data Brickz menunjukkan harga median transaksi di One Cochrane Residences berhampiran adalah sekitar RM1,050 bagi setiap kaki persegi (psf), manakala projek Sunway Cochrane yang dilancarkan pada Oktober 2025 ditawarkan pada harga antara RM1,050 hingga RM1,319 psf.

 

Permohonan perintah pembangunan bagi The Linque telah dikemukakan pada 10 Jun 2026 dan projek itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan segmen hartanah IJM dalam pasaran bandar utama negara. - DagangNews.com