KUALA LUMPUR 18 Jun – Eco World Development Group Berhad mencatatkan pencapaian positif apabila meraih jualan RM3.28 bilion hanya dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun kewangan 2026 (7MFY26).
Menurut makluman kumpulan pemaju hartanah tersebut kepada Bursa, perkembangan yang baik itu dipacu oleh pertumbuhan agresif segmen perindustrian dan permintaan tinggi terhadap pusat data (DC).
Pencapaian berkenaan mewakili 82% daripada sasaran jualan tahunan kumpulan sebanyak RM4.0 bilion, sekali gus menetapkan rekod baharu jualan tertinggi dalam tempoh tujuh bulan bagi syarikat itu.
"Keuntungan selepas cukai (PAT) bagi separuh pertama (1H26) melonjak 45% kepada RM303.5 juta berbanding RM210.1 juta dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu," jelas kenyataan EcoWorld.
Sementara itu tambahnya, bagi tempoh suku kedua (2Q) tahun kewangan 2026 sahaja, PAT direkodkan sebanyak RM138 juta, meningkat kira-kira 6% berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.
Berikutan prestasi itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2 sen sesaham, menjadikan dividen terkumpul berjumlah 4 sen, naik 33% berbanding tahun kewangan 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, wilayah Iskandar Malaysia kekal penyumbang terbesar dengan nilai RM1.66 bilion atau 51% daripada jumlah jualan.
"Segmen perindustrian paling pantas berkembang. Melalui tonggak QUANTUM, jualan kepada pengendali DC global kini melebihi RM1.87 bilion dalam masa kurang dua tahun sejak dilancarkan," katanya.
Namun segmen kediaman terus menjadi tunjang utama iaitu RM1.74 bilion, dengan projek perumahan terbaharu, Eco Botanic 3, menunjukkan momentum luar biasa dengan jualan RM489 juta sehingga kini.
EcoWorld turut merekodkan hasil masa hadapan pada tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM5.38 bilion setakat 31 Mei 2026, yang menjamin prospek aliran tunai kumpulan dalam jangka masa pendek.
Kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan baki tunai RM2.50 bilion, memberikan ruang luas terus mengembangkan bank tanah dan perniagaan secara berhemat pada masa hadapan. - DagangNews.com








