Phillip Capital unjur Oriental Kopi catat untung 22% setahun hingga FY28, dipacu 28 cawangan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital unjur Oriental Kopi catat untung 22% setahun hingga FY28, dipacu 28 cawangan baharu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JunOriental Kopi Holdings Berhad diyakini mampu mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan sebanyak 22% sehingga FY28, menurut analisis Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut dipacu rancangan pembukaan 28 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun dan peningkatan sumbangan segmen produk pengguna bergerak pantas (FMCG).

 

Ujarnya, prospek pertumbuhan ini menjadikan ia antara syarikat sektor makanan dan minuman (F&B) tempatan yang memiliki pertumbuhan paling kukuh ketika industri berdepan persaingan sengit.

 

"Justeru, kami memulakan liputan terhadap Oriental Kopi dengan optimis memberikan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.26 sesaham dalam masa 12 bulan," jelas Phillip Capital dalam nota.

 

Katanya, rangkaian kafe tempatan itu turut berkembang paling pantas di Malaysia dengan 34 cawangan setakat Mei 2026, terdiri 31 cawangan di enam negeri di Malaysia dan baki tiga lagi di Singapura.

 

 

Oriental Kopi_DagangNews2026

 

Kesemua cawangan kumpulan berkenaan pula terletak di kawasan yang bertrafik amat tinggi termasuk Terminal 2 KLIA, The Exchange TRX, KLCC dan pusat beli-belah utama dalam zon pinggir bandar.

 

Lebih 90% daripada cawangan Oriental Kopi ujar Phillip Capital, sudah memperoleh pensijilan halal, sekali gus memperluaskan capaian pasaran dan meningkatkan tarikan kepada pengguna beragama Islam.

 

"Selain itu, pertumbuhan keuntungan kumpulan dijangka disokong oleh peningkatan sumbangan segmen FMCG yang menawarkan margin lebih tinggi berbanding operasi restoran tradisional," tambahnya lagi.

 

Pada masa sama jelas firma penyelidikan berkenaan, margin keuntungan syarikat itu dijangka terus bertambah baik hasil kelebihan ekonomi skala dan campuran produk yang semakin lebih menguntungkan.

 

Phillip Capital turut menjangkakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan memberi impak positif kepada jumlah pelanggan Oriental Kopi, khususnya di cawangan tumpuan para pelancong asing.

 

Kukuhkan Kedudukan Sebagai Identiti Tempatan

Menurutnya, kerjasama erat dengan Tourism Malaysia menerusi inisiatif 'Rasa Malaysia' berpotensi meningkatkan pengiktirafan jenama dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara identiti tempatan.

 

"Kami berpandangan segmen FMCG berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang kerana model perniagaannya mudah dikembangkan berbanding pembukaan cawangan fizikal semata-mata," jelasnya.

 

Dari segi penilaian, Phillip Capital berkata saham Oriental Kopi ketika ini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) CY27 sebanyak 19 kali, kurang 47% berbanding purata wajar syarikat setara.

 

Kumpulan ini digemarinya kerana memiliki pelbagai pemacu pertumbuhan termasuk peluang pertambahan cawangan, pasaran luas menerusi pensijilan halal, dan sumbangan daripada FMCG. - DagangNews.com