KUALA LUMPUR 19 Jun - Prestasi perdagangan Malaysia mencatat pertumbuhan paling kukuh dalam tempoh hampir empat tahun apabila jumlah perdagangan negara melonjak 29.8% tahun ke tahun kepada RM327.63 bilion pada Mei 2026.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pertumbuhan itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 44 bulan, didorong oleh peningkatan eksport yang terus mencatat momentum positif.
Menurut kementerian itu, eksport berkembang 45.3% kepada RM184 bilion, sekali gus melepasi rekod tertinggi bulanan yang dicatatkan pada April 2026 dan menjadi prestasi eksport terbaik sejak Ogos 2022.
"Pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan kukuh dalam produk pembuatan dan perlombongan yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit.
"Produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal menjadi penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak RM38 bilion kepada paras tertinggi baharu, didorong oleh permintaan berterusan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi automotif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MITI berkata, pertumbuhan eksport turut dipacu oleh peningkatan penghantaran produk petroleum, gas asli cecair (LNG) serta peralatan optik dan saintifik.
Sementara itu, import meningkat pada kadar lebih sederhana iaitu 14.1% kepada RM143.62 bilion.
Perkembangan tersebut membolehkan Malaysia merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM40.38 bilion, iaitu rekod tertinggi bulanan yang pernah dicapai negara.
Ia juga menandakan bulan ke-73 berturut-turut Malaysia mencatat lebihan dagangan sejak Mei 2020.
Menurut MITI, prestasi eksport negara kekal menyeluruh dengan semua rakan dagang utama termasuk ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit yang kukuh.
Eksport ke Taiwan dan EU turut mencapai paras tertinggi baharu, mencerminkan permintaan global yang terus mampan terhadap produk keluaran Malaysia.
MITI berkata, rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dimiliki Malaysia turut memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses pasaran eksport.
"FTA terus membuka peluang pasaran yang lebih luas dan menyumbang kepada peningkatan eksport ke negara seperti Mexico, United Kingdom, Kanada dan Pakistan merangkumi pelbagai kategori produk," katanya.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 18.3% kepada RM1.455 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Eksport bagi tempoh tersebut berkembang 24.3% kepada RM793.84 bilion manakala import meningkat 11.8% kepada RM661.07 bilion.
Prestasi itu menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM132.77 bilion.
MITI berkata, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini semuanya mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.
"Walaupun persekitaran perdagangan global masih berdepan ketidaktentuan, prestasi perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dengan sektor E&E terus menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport negara," katanya. - DagangNews.com








