Langkah Beshom jual tanah industri pada harga premium, tingkatkan dana berdepan cabaran - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah Beshom jual tanah industri pada harga premium, tingkatkan dana berdepan cabaran - TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Jun — Tindakan Beshom Holdings Berhad menjual 5.9 hektar tanah perindustrian di Klang, Selangor pada harga premium dilihat mampu meningkatkan kecairan kewangan kumpulan.

 

TA Securities dalam analisisnya berkata, langkah itu turut menyediakan dana tambahan bagi pelbagai inisiatif penambahbaikan operasi ketika syarikat berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

Menurut firma itu, harga pelupusan RM85.8 juta atau RM135 sekaki persegi dianggap sebagai menarik kerana berada di bahagian atas julat harga pasaran semasa dan mewakili premium sekitar 42.4%.

 

"Kadar ditetapkan Beshom ini juga lebih tinggi berbanding satu transaksi tanah perindustrian di kawasan sama pernah direkodkan pada Mac 2026 dengan harga hanya RM95 sekaki persegi," jelasnya.

 

Pelupusan tersebut kata TA Securities, membuka nilai aset yang selama ini tersimpan dalam kunci kira-kira, serta dijangka dapat menjana keuntungan pro forma dan mengukuhkan kedudukan tunai.

 

Beshom_DagangNews2026

 

 

Pada 16 Jun 2026, kumpulan itu memeterai perjanjian jual beli dengan JT Development Sdn Bhd bagi melupuskan tiga lot tanah perindustrian pegangan bebas seluas kira-kira 58,994 meter persegi.

 

Menurut pengurusan Beshom, hasil pelupusan itu digunakan bagi pembelian gudang baharu, pembinaan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerja naik taraf hartanah sedia ada serta modal kerja.

 

"Pembinaan pencawang diperlukan kerana bekalan elektrik ke hartanah bersebelahan milik syarikat selama ini disalur melalui pencawang TNB terletak di atas tanah yang dijual," kata TA Securities.

 

Berdasarkan anggaran, pelupusan tersebut dijangka menghasilkan keuntungan kira-kira RM52.8 juta selepas mengambil kira nilai buku tanah, cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan kos berkaitan.

 

Transaksi dijangka selesai pada suku pertama tahun depan, dengan firma tersebut menilai, masa pelaksanaan sesuai memandangkan Beshom sedang beroperasi dalam persekitaran yang amat mencabar.

 

Keuntungan bakal direalisasikan itu ujar TA Securities, mampu meningkatkan fleksibiliti kewangan, menyokong naik taraf infrastruktur operasi dan mengekalkan kecairan tunai syarikat tersebut.

 

Keuntungan Pelupusan Tingkatkan Pendapatan Sesaham

"Hasil jualan akan dilaburkan semula ke dalam pelbagai inisiatif pertumbuhan termasuk pembelian gudang baharu, pengubahsuaian dan pengembangan premis runcit, pembangunan produk," tambahnya lagi.

 

Langkah Beshom itu ujarnya, dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan penglibatan ahli dan menyokong pertumbuhan segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM), peruncitan serta pemborongan.

 

Secara teori kata TA Securities, keuntungan pelupusan tersebut boleh meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) FY27 kepada kira-kira 21.4 sen berbanding unjuran terdahulu hanya sebanyak 3.8 sen.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan yang sedia ada kerana keuntungan itu bersifat sekali sahaja dan tidak diambil kira sebagai pendapatan teras kumpulan.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'jual' terhadap Beshom, namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada 58 sen daripada 51 sen sebelum ini selepas mengemas kini tahun asas penilaian. - DagangNews.com