KC-390 Millennium, C-130J Super Hercules calon sesuai ganti Hercules TUDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KC-390 Millennium, C-130J Super Hercules calon sesuai ganti Hercules TUDM

KC-390 merupakan pesawat pengangkut taktikal generasi baharu yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan operasi masa hadapan.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Perancangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menggantikan pesawat pengangkut C-130 Hercules menandakan satu fasa penting dalam transformasi keupayaan mobiliti udara negara.

 

Langkah ini dilihat semakin mendesak memandangkan sebahagian besar armada Hercules TUDM telah berkhidmat selama lebih tiga dekad, malah pesawat tertua kini berusia sekitar 50 tahun.

 

Walaupun Hercules masih terbukti sebagai aset yang boleh diharapkan, peningkatan kos penyelenggaraan dan faktor keusangan teknologi menjadikan penggantian suatu keperluan strategik.

 

Rancangan menggantikan pesawat pengangkut baharu ini dinyatakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris pada majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Kuantan, Pahang semalam.

 

Pesawat
Pesawat Hercules TUDM yang telah dioperasikan lebih 40 tahun.

 

Pesawat

 

Jelasnya, pesawat baharu diperlukan kerana keperluan operasi TUDM pada masa hadapan juga dijangka lebih kompleks dengan cabaran keselamatan serantau yang semakin dinamik.

 

Sehubungan itu katanya, pesawat pengangkut baharu pada masa akan datang mempunyai banyak kelebihan dari segi teknologi dan keupayaan. 

 

Justeru, pesawat pengganti perlu menawarkan prestasi lebih tinggi, kapasiti muatan lebih besar dan teknologi yang lebih moden.

 

Walaupun pihak Kementerian Pertahanan atau TUDM belum membuat sebarang keputusan, namun dua calon utama dilihat berada dalam perhatian iaitu Lockheed Martin C-130J Super Hercules dan Embraer KC-390 Millennium.

 

Kedua-dua pesawat mempunyai kelebihan tersendiri yang memenuhi keperluan operasi pengangkutan taktikal moden.

 

Helikopter

 

Pesawat

 

Cadangan lain termasuk menambah bilangan pesawat pengangkut Airbus A400M yang kini berjumlah 4 buah.

 

Bagaimana pun, Airbus A400M dan Hercules merupakan 2 buah pesawat pengangkut yang berbeza. A400M adalah pesawat pengangkut strategik manakala Hercules pula bagi pengangkutan taktikal.

 

Jika pun TUDM menambah bilangan pesawat ini, pembelian untuk menggantikan Hercules perlu dibuat.

 

C-130J merupakan evolusi terkini keluarga Hercules yang telah digunakan oleh lebih 20 negara di seluruh dunia.

 

Kelebihan terbesar pesawat ini adalah kesinambungan logistik dengan armada Hercules sedia ada milik TUDM.

 

Pesawat

 

Pesawat
Pesawat KC-390 mempunyai ruang kargo yang luas dan boleh membawa banyak muatan.

 

 

Peralihan kepada C-130J tidak memerlukan perubahan besar terhadap latihan kru, kemudahan penyelenggaraan dan sokongan teknikal.

 

Selain itu, penggunaan enjin turboprop membolehkan C-130J menawarkan kecekapan bahan api yang tinggi bagi operasi jarak jauh.

 

Pesawat ini juga mempunyai reputasi cemerlang dalam operasi di landasan tidak sempurna termasuk kawasan pedalaman dan zon bencana.

 

Rekod operasi yang terbukti di pelbagai konflik dan misi bantuan kemanusiaan menjadikan C-130J sebagai pilihan yang rendah risiko.

 

Atas faktor itu, C-130J merupakan pilihan paling selamat untuk TUDM.

 

Pesawat
Pesawat C-130J Super Hercules masih mengekalkan rekaan klasik Hercules tetapi dengan prestasi yang lebih baik.

 

Pesawat

 

Namun begitu, kehadiran Embraer KC-390 Millennium memberikan dimensi baharu dalam persaingan tersebut.

 

KC-390 merupakan pesawat pengangkut taktikal generasi baharu yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan operasi masa hadapan.

 

Penggunaan enjin turbofan membolehkannya terbang hampir 30 peratus lebih pantas berbanding C-130J.

 

Keupayaan ini amat penting bagi misi bantuan kemanusiaan, pemindahan pasukan dan tindak balas kecemasan.

 

Pesawat buatan Brazil itu juga mampu membawa muatan sehingga 26 tan berbanding sekitar 20 tan bagi C-130J.

 

Pesawat
Ruang kargo Super Hercules.

 

Ruang kargonya yang lebih luas membolehkan pengangkutan aset tentera yang lebih besar dan berat.

 

Dari sudut teknologi, KC-390 dilengkapi sistem penerbangan ‘fly-by-wire’ sepenuhnya yang meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan penerbangan.

 

Kos operasi yang kompetitif turut menjadi faktor yang menarik perhatian banyak negara pengguna.

 

Kehadiran KC-390 semasa pameran LIMA 2025 lalu serta usaha pemasaran agresif Embraer menunjukkan syarikat itu serius untuk menembusi pasaran Malaysia.

 

Malah, pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak Embraer semasa melakukan lawatan ke Brazil pada Julai tahun lalu turut mencetuskan spekulasi mengenai potensi kerjasama strategik.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Cadangan pihak Embraer menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa ASEAN juga memberi nilai tambah yang melangkaui aspek pembelian aset semata-mata.

 

Bagaimana pun, keputusan akhir TUDM tidak boleh dibuat berdasarkan prestasi teknikal sahaja.

 

Aspek kos kitar hayat, pemindahan teknologi, sokongan industri tempatan dan kebolehoperasian bersama aset sedia ada perlu diberi pertimbangan menyeluruh.

 

Pesawat

 

TUDM juga perlu memastikan pesawat baharu mampu beroperasi secara efektif dalam persekitaran geografi Malaysia yang melibatkan kawasan maritim, pedalaman dan operasi bantuan bencana.

 

Jika keutamaan diberikan kepada kesinambungan operasi serta risiko rendah, C-130J mempunyai kelebihan yang sukar dinafikan.

 

Namun, jika Malaysia mahu melonjak kepada teknologi generasi baharu dengan kapasiti lebih besar dan kelajuan lebih tinggi, KC-390 Millennium berpotensi muncul sebagai pilihan paling menarik. - DagangNews.com