KUALA LUMPUR 19 Jun – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menjalin kerjasama strategik dengan Institut Pembuatan Kebangsaan Scotland (NMIS) bagi memperkukuh ekosistem pembuatan bernilai tinggi dan industri semikonduktor di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Kerjasama yang dimeterai menerusi Memorandum Kerjasama (MoC) selama lima tahun sehingga 2031 itu akan memanfaatkan program NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) bagi mempercepatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan inovasi (R&D&C&I).
Inisiatif berkenaan turut menyokong pembangunan Syarikat Tempatan Berskala Besar (LLC) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, aeroangkasa, automotif, logistik serta ekonomi digital.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam meletakkan wilayah utara sebagai hab utama pembuatan termaju dan inovasi semikonduktor di rantau ini.
"Melalui NTIC dan APIRC, kami sedang membangunkan ekosistem yang komprehensif untuk mempercepatkan inovasi, mengukuhkan keupayaan tempatan serta membolehkan LLC dan PKS menembusi rantaian nilai global.
"NMIS membawa kepakaran bertaraf dunia dalam bidang pembuatan termaju dan pengkomersialan teknologi. Gabungan kekuatan ini akan membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan bakat, kerjasama industri dan tarikan pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerjasama itu juga membolehkan syarikat tempatan mendapat akses kepada teknologi canggih, kepakaran global dan rangkaian industri strategik bagi mempercepatkan proses komersialisasi serta meningkatkan daya saing dalam industri semikonduktor global.
Di bawah MoC tersebut, NMIS akan menyediakan khidmat nasihat strategik, memudah cara kerjasama antara industri dan institusi penyelidikan serta menggalakkan penggunaan teknologi mendalam dalam kalangan LLC dan PKS.
Pada masa sama, NTIC akan menyelaras pelaksanaan aktiviti melalui APIRC bagi memperkukuh rantaian nilai industri di NCER.
Kerjasama itu turut menyokong sasaran APIRC untuk menarik pelaburan baharu berjumlah RM8.5 bilion dan membangunkan 12 syarikat tempatan dalam ekosistem pembungkusan lanjutan menjelang 2030.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Suruhanjaya Tinggi British, David Wallace berkata, NMIS melihat potensi besar dalam pembangunan teknologi pembungkusan lanjutan, elektronik kuasa dan semikonduktor kompaun di wilayah utara Malaysia.
"Perkongsian ini mencerminkan komitmen bersama untuk mempercepatkan inovasi, membangunkan bakat masa depan dan membantu industri mengadaptasi teknologi termaju yang mampu meningkatkan produktiviti, daya saing dan pertumbuhan mampan," katanya. - DagangNews.com








