Sunway Construction di landasan capai sasaran kontrak RM6 bilion FY2026 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Construction di landasan capai sasaran kontrak RM6 bilion FY2026 - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - Sunway Construction Group Berhad (SunCon) berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran penambahan kontrak tahun kewangan 2026 sebanyak RM6 bilion apabila nilai kontrak baharu yang diraih setakat tahun ini mencecah RM4.3 bilion.

 

Firma penyelidikan berkata, jumlah itu mewakili 71% daripada sasaran tahunan syarikat sekali gus meningkatkan buku tempahan tertunggak kepada RM8.8 bilion yang mampu memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan 2029.

 

Menurutnya, pertumbuhan buku tempahan itu didorong oleh peningkatan nilai projek pusat data susulan arahan perubahan kerja yang diterima baru-baru ini.

 

"Projek pusat data kekal menjadi penyumbang terbesar kepada buku pesanan SunCon dengan nilai RM5.9 bilion atau 67% daripada keseluruhan buku tempahan.

 

"Ia diikuti projek dalaman Kumpulan Sunway bernilai RM2.1 bilion yang mewakili 24% daripada jumlah buku tempahan semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu turut berkata, prospek kontrak baharu SunCon kekal memberangsangkan dengan nilai buku tender semasa berjumlah RM15 bilion.

 

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 80% terdiri daripada projek berkaitan pusat data yang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.

 

Menurut MBSB Research, SunCon berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan berterusan dalam segmen pembinaan pusat data memandangkan syarikat mempunyai rekod pelaksanaan projek yang kukuh.

 

Selain itu, sebanyak 71% daripada buku pesanannya terdiri daripada projek pusat data yang lazimnya mempunyai tempoh pelaksanaan lebih singkat berbanding projek pembinaan konvensional.

 

"Ini membolehkan syarikat merekodkan pengiktirafan hasil yang lebih pantas dan menyokong pertumbuhan keuntungan dalam tempoh sederhana.

 

"Kami juga melihat potensi peningkatan terhadap sasaran penambahan kontrak RM6 bilion bagi tahun kalendar 2026 sekiranya momentum perolehan projek pusat data terus kekal kukuh," katanya.

 

Dalam pada itu, SunCon turut menawarkan pulangan dividen yang menarik dengan hasil dividen diunjurkan sekitar 6.2%, sekali gus menjadikan saham syarikat itu antara pilihan utama dalam sektor pembinaan.

 

Berdasarkan prospek pertumbuhan yang positif serta kekuatan buku pesanan semasa, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham SunCon dan menaikkan harga sasaran kepada RM8.19.

 

Harga sasaran baharu itu ditentukan berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026 sebanyak 31.1 sen dan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 25.5 kali, iaitu satu sisihan piawai melebihi purata penilaian lima tahun syarikat. - DagangNews.com