Pusat data Johor dijangka guna 40% bekalan elektrik negeri menjelang 2035, beri tekanan kepada infrastruktur grid - Laporan WoodMac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat data Johor dijangka guna 40% bekalan elektrik negeri menjelang 2035, beri tekanan kepada infrastruktur grid - Laporan WoodMac

Antara pusat data yang dibangunkan di Johor. (Gambar hiasan/ FB Datuk Onn Hafiz Ghazi)
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - Projek pusat data yang berkembang pesat di Johor berpotensi menggunakan sehingga 40% daripada jumlah permintaan elektrik negeri itu menjelang 2035, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap infrastruktur grid dan bekalan tenaga sedia ada.

 

Menurut laporan syarikat data dan analitik global berpangkalan di Scotland, Wood Mackenzie (WoodMac), permintaan elektrik daripada sektor pusat data di Johor dijangka meningkat sekitar 24% dalam tempoh tersebut susulan pertumbuhan pesat pelaburan teknologi dan digital di negeri berkenaan.

 

Penganalisis Penyelidikan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui WoodMac, Alvin Tan berkata, cabaran utama kini bukan lagi mengenai kecukupan bekalan tenaga tetapi lokasi bekalan kuasa yang tersedia bagi menyokong pembangunan projek baharu.

 

"Kawasan yang menerima tumpuan pelaburan pusat data tertinggi juga merupakan kawasan yang menghadapi tekanan paling besar terhadap infrastruktur grid.

 

"Keupayaan sistem penghantaran dan pengagihan tenaga menjadi faktor penting yang akan menentukan kadar pertumbuhan sektor ini pada masa hadapan," katanya dalam laporan bertajuk Powering Johor's Data Centre Boom: Supply, Demand, and Grid Constraints.

 

johordc1

 

Johor muncul sebagai hab pusat data utama rantau ini selepas Singapura menghentikan sementara pembangunan pusat data antara 2019 hingga 2022.

 

Sehingga September lalu, kapasiti kuasa pusat data di Johor dianggarkan mencecah 3.8 gigawatt (GW), hampir satu setengah kali ganda berbanding permintaan elektrik semasa negeri itu.

 

Laporan itu turut menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Rangka Kerja Pusat Data Nasional Malaysia serta Laluan Hijau (Green Lane Pathway) Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mempercepatkan proses kelulusan projek dan sambungan kepada grid elektrik.

 

Bagaimanapun, WoodMac memberi amaran bahawa kelulusan projek yang lebih pantas berisiko menyebabkan pembangunan pusat data berkembang melebihi kemampuan infrastruktur grid untuk menampung permintaan tenaga baharu.

 

Sehingga 2025, Johor dilaporkan mempunyai 27 pusat data yang beroperasi dengan kira-kira 50 lagi projek sedang dirancang setakat April tahun lalu.

 

Johordc2

 

Pada masa sama, Johor kini mempunyai kapasiti penjanaan elektrik terpasang sebanyak 6.8GW yang sebahagian besarnya bergantung kepada sumber gas asli dan arang batu.

 

Menurut laporan tersebut, keadaan itu boleh menjadi cabaran apabila Malaysia melaksanakan agenda peralihan tenaga hijau memandangkan sebanyak 2.1GW kapasiti janakuasa arang batu dijangka ditamatkan operasi dalam dekad 2030-an sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Bagi menangani cabaran berkenaan, WoodMac mencadangkan pembinaan pencawang khusus yang lebih kukuh di lokasi projek, penggunaan sistem solar teragih serta pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui yang dikhususkan untuk industri pusat data.

 

Selain itu, program NewGen26 yang melibatkan tender terbuka bagi pembangunan kapasiti penjanaan baharu berasaskan gas antara 6GW hingga 8GW dilihat penting untuk memastikan kestabilan bekalan elektrik jangka panjang serta menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negara.

 

Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Johor Selatan juga dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan bekalan tenaga negeri itu.

 

Projek yang dirancang di Mersing dan Kota Tinggi berpotensi menambah kapasiti solar sehingga empat gigawatt puncak (GWp) bersama sistem penyimpanan bateri, sekali gus membantu mengimbangi kesan penamatan operasi loji janakuasa arang batu pada masa hadapan.

 

Alvin berkata, persoalan utama ketika ini adalah sama ada perancangan infrastruktur tenaga dapat bergerak lebih pantas berbanding pertumbuhan projek pusat data yang berkembang antara terpantas di Asia Tenggara.

 

"Sebarang kelewatan dalam pembinaan pencawang, naik taraf sistem penghantaran atau pembangunan kapasiti penjanaan baharu berpotensi menjadi faktor yang mengehadkan pertumbuhan sektor pusat data pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com