KUALA LUMPUR 19 Jun - OSK Ventures International Bhd dan Hartamodal Sdn Bhd telah dipilih sebagai dua pengurus pelaburan di bawah program Dana Pemangkin Penskalaan PKS - Pelaburan anjuran SME Corp Malaysia, yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan akses kepada modal alternatif daripada firma modal teroka (VC).
Kedua-dua syarikat itu dipilih daripada 21 syarikat yang memohon untuk menjadi rakan strategik SME Corp bagi program berkenaan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, yang mengesahkan pemilihan tersebut.
Jumlah keseluruhan peruntukan masih belum dimuktamadkan dan akan dibahagikan sama rata antara kedua-dua firma terbabit.
“Kami telah menjalankan proses pemilihan dan kedua-dua syarikat ini telah dilantik serta menerima pelantikan tersebut. Ini berdasarkan rekod prestasi mereka serta data yang telah dikemukakan kepada kami,” katanya kepada The Edge Market.
“Saya sendiri turut berada semasa proses pembentangan, dan mereka menunjukkan hujah yang sangat baik serta meyakinkan dari segi bagaimana mereka boleh melaksanakan program ini — kerana ia bukan sekadar tentang program itu sendiri, tetapi juga komitmen daripada pihak mereka.
“Kami mempunyai penilaian pemarkahan, dan mereka adalah dua syarikat terbaik yang dipersetujui oleh panel.”

Dana Pemangkin Penskalaan PKS bertujuan memperkukuh akses pembiayaan berasaskan model pembiayaan alternatif dan swasta bagi menyokong pertumbuhan serta pengembangan PKS dalam industri terpilih melalui dua komponen utama: pembiayaan dan pelaburan.
Mekanisme Padanan
Sementara itu, program Dana Pemangkin Penskalaan PKS - Pelaburan beroperasi sebagai mekanisme padanan dana bersama firma VC dengan nisbah satu kepada satu.
Di bawah struktur ini, SME Corp akan menyalurkan modal kepada pengurus yang dilantik, dan mereka akan melaburkannya ke dalam PKS Malaysia bersama dana padanan mereka sendiri.

Rizal berkata kedua-dua firma dijangka menerima bahagian yang sama, namun jumlah keseluruhan masih tertakluk kepada perincian akhir.
“Jumlahnya bergantung kepada perjanjian muktamad kerana ada dua pihak, jadi kita perlu melihat bagaimana dana itu akan dibahagikan. Namun ia sepatutnya sama rata,” katanya.
Beliau menambah, program ini bukanlah inisiatif setahun, sebaliknya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan tahunan yang bergantung kepada belanjawan kerajaan yang dibentangkan setiap Oktober.
Untuk melayakkan diri sebagai pengurus pelaburan di bawah program ini, pemohon perlu memenuhi lima kriteria asas yang ditetapkan dalam dokumen RFP SME Corp, berdasarkan hantaran LinkedIn agensi itu kira-kira tiga bulan lalu.
Kriteria tersebut ialah:
pendaftaran dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 sebagai syarikat modal teroka atau syarikat pengurusan modal teroka
sekurang-kurangnya 51% ekuiti tempatan
mempunyai dana padanan yang diperlukan
sekurang-kurangnya seorang pengarah dengan pengalaman minimum 10 tahun
bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
OSK Ventures International Bhd merupakan cabang modal teroka kepada kumpulan OSK yang melabur dalam syarikat teknologi dan peringkat pertumbuhan di seluruh rantau.
Hartamodal Sdn Bhd pula adalah cabang VC kepada firma pengurusan aset butik Tradeview Capital Sdn Bhd, yang memberi tumpuan kepada pelaburan peringkat awal dan pertumbuhan dalam syarikat di Malaysia. - DagangNews.com








