DKSH bekerjasama dengan Countstar memperkenalkan sistem analisis sel canggih di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH bekerjasama dengan Countstar memperkenalkan sistem analisis sel canggih di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Dis - Unit Perniagaan Teknologi DKSH mengumumkan kerjasama dengan Countstar, penyedia penyelesaian analisis sel terkemuka, untuk memperluaskan akses kepada sistem analisis sel canggih di Malaysia. 

 

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada sektor sains hayat, bioteknologi dan farmaseutikal.

 

Perjanjian tersebut menandakan penembusan rasmi Countstar di pasaran Malaysia, dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran DKSH yang kukuh serta kepakarannya dalam pengembangan pasaran.

 

Ditubuhkan oleh ALIT Biotech, Countstar merupakan perintis dalam pembangunan peralatan berdaya cipta dan bahan yang digunakan dalam penyelidikan biologi. 

 

Countstar menggunakan teknologi imej yang canggih untuk menganalisis sel, memberikan data yang lengkap dan tepat mengenai bentuk sel, kesihatan sel dan jumlah sel pada masa nyata.

 

Sistem berkenaan menjadi alat penting dalam penyelidikan, pembangunan proses dan persekitaran pengeluaran, dengan lebih daripada 6,000 unit dipasang di seluruh dunia.

 

Antara pengguna utamanya termasuk makmal sains hayat akademik, agensi kerajaan dan syarikat terkemuka dalam industri bioteknologi, farmaseutikal dan biofarmaseutikal.

 

Melalui perjanjian eksklusif itu, DKSH akan mengedarkan siri alat pengira sel Mira daripada Countstar dan menyediakan perkhidmatan pemasaran, jualan, aplikasi, serta sokongan selepas jualan yang lengkap.

 

Kerjasama tersebut membuka peluang baharu untuk penyelidik dan profesional sains hayat di Malaysia, menawarkan akses kepada peralatan analisis sel tercanggih. 

 

Selain itu, DKSH juga akan menawarkan produk Countstar lain secara tidak eksklusif, sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan rumusan terbaik kepada rangkaian pelanggannya.

 

Pengarah Jualan & Pemasaran Countstar, Gavin Huang berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan DKSH untuk membawa sistem analisis sel inovatifnya ke pasaran Malaysia.


 
"Pengetahuan mendalam DKSH tentang landskap sains hayat tempatan dan rangkaian pengedaran yang kukuh akan memainkan peranan penting dalam memperluaskan jangkauan kami dan menyediakan rumusan canggih kepada penyelidik, saintis dan pengeluar di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Pusat Kecemerlangan DKSH, Marco Farina berkata, syarikatnya gembira dapat bekerjasama dengan Countstar untuk memperkenalkan rumusan analisis sel termaju mereka ke Malaysia. 

 

"Kerjasama ini selaras dengan misi kami untuk membawa teknologi berdaya cipta dan bertaraf dunia ke pasaran. 

 

"Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk alat analisis sel yang tepat dan cekap, kami percaya inovasi kecerdasan buatan (AI) daripada Countstar akan mendorong pertumbuhan bersama untuk kedua-dua syarikat," ujarnya. - DagangNews.com