UEM Edgenta dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 10 Julai 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Edgenta dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 10 Julai 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – UEM Edgenta Bhd akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Berhad berkuat kuasa 10 Julai 2026, susulan pemindahan keluar keseluruhan modal saham terbitan syarikat itu daripada pasaran saham tempatan.

 

Saham UEM Edgenta akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia pada pukul 9 pagi Jumaat, 10 Julai 2026, selaras dengan Perenggan 16.07(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

Pada 12 Jun lalu, saham syarikat itu digantung bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR).

 

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan penswastaan oleh UEM Group Bhd, yang juga syarikat milik Khazanah Nasional Bhd.

 

Pelaksanaan SCR itu menyaksikan UEM Group meningkatkan pegangan sahamnya dalam UEM Edgenta daripada 69.14% kepada 100% yang membuka laluan kepada penyahsenaraian UEM Edgenta.

 

Cadangan tersebut sebelum ini telah mendapat kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada awal April lalu.

 

Di bawah pelaksanaan itu, UEM Group akan mengambil alih baki 30.86% kepentingan dalam UEM Edgenta atau kira-kira 257 juta saham pada harga RM1.10 sesaham.

 

Transaksi itu melibatkan pembayaran tunai sekitar RM282 juta kepada pemegang saham minoriti syarikat berkenaan.

 

Sebelum ini, UEM Group menjelaskan langkah penswastaan itu bertujuan memberi fleksibiliti lebih besar kepada syarikat dalam mengurus operasi dan strategi perniagaan dalam suasana pasaran yang mencabar. 

 

Menurutnya, prestasi syarikat selepas pandemik masih belum kembali kukuh berikutan peningkatan kos operasi, margin keuntungan yang tertekan serta pembayaran dividen yang lebih rendah berbanding tempoh sebelum 2020.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, UEM Edgenta mencatat keuntungan bersih RM2.02 juta berbanding kerugian bersih RM17.95 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com