KUALA LUMPUR 9 Julai - Syarikat pembinaan Binastra Holdings Berhad berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penambahan kontrak sebanyak RM3 bilion bagi FY26 susulan kejayaan meraih kontrak RM405 juta bagi pembangunan kediaman bertingkat tinggi di Bukit Jalil.
Mercury Securities berkata, kontrak yang dianugerahkan Exsim Jalil Link Sdn Bhd, meningkatkan jumlah penambahan kontrak setakat ini kepada RM1.4 bilion, bersamaan 47% daripada sasaran penuh tahun ini.
Ia sekali gus mengukuhkan nilai buku tempahan tertunggak Binastra kepada RM4.6 bilion, bersamaan 3.2 kali anggaran hasil FY26.
Firma penyelidikan itu berkata, projek baharu itu, The Queenswoodz merangkumi dua menara kediaman dengan jumlah 1,004 unit, termasuk komponen runcit, tempat letak kereta bertingkat lapan, serta kemudahan untuk penduduk. Pembinaan itu dijadualkan siap dalam tempoh 41 bulan.
Mercury Securities yakin, Binastra berada dalam kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran didorong usaha tender aktif di luar kalangan pelanggan terasnya, projek berterusan daripada pelanggan berulang seperti Exsim, Maxim dan Platinum Victory serta jangkaan memenangi lima lagi kontrak dalam separuh kedua FY26.
ARTIKEL BERKAITAN: Binastra menang kontrak pembinaan RM405 juta di Bukit Jalil
“Walaupun bermula agak perlahan, Binastra semakin menunjukkan perkembangan positif. Hubungan kukuh dengan pemaju dan terma kontrak yang menguntungkan menjadi kelebihan utama,”katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, projek terbaharu daripada Exsim dijangka mengekalkan margin projek tinggi untuk Binastra, disokong pelaksanaan yang lancar dan pembayaran tepat pada masanya yang membantu mengurus turun naik kos pembinaan.
Katanya, unjuran syarikat kekal tidak berubah, dengan penganalisis mengekalkan penarafan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.54 sesaham.
“Kami menyukai Binastra kerana buku tempahannya yang kukuh dan margin keuntungan yang stabil. Keupayaannya untuk terus memperoleh projek daripada pelanggan berulang membuktikan kekuatan pelaksanaannya," katanya.- DagangNews.com








