KUALA LUMPUR 8 Julai – Binastra Corporation Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd berjaya memenangi kontrak pembinaan bernilai RM405 juta di Bukit Jalil.
Surat pelantikan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan projek The Queenswoodz di Bukit Jalil itu diterima daripada Exsim Jalil Link Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Binastra Corporation Berhad, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, projek pembinaan itu termasuk dua blok kediaman sebanyak 1,004 unit.
"Tempoh pembinaan dijadualkan siap dalam masa 41 bulan daripada tarikh permulaan, yang akan dimaklumkan melalui arahan arkitek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia adalah projek keempat yang dianugerahkan kepada Binastra sebagai kontraktor utama di tanah seluas 7.2 hektar di Bukit Jalil itu.
Dengan penganugerahan tersebut, jumlah keseluruhan nilai kontrak yang diperoleh bagi keempat-empat projek telah mencecah kira-kira RM1.8 bilion.
Beliau berkata, kontrak yang dimenangi bukan sahaja mengukuhkan rekod prestasi Binastra dalam menyempurnakan projek, malah membuktikan keupayaan mereka untuk membina hubungan jangka panjang bersama pelanggan melalui prestasi konsisten dan kecemerlangan dalam industri pembinaan.
"Memasuki separuh kedua 2025, kami akan mempergiatkan usaha mendapatkan kontrak baharu.
"Dengan RM1.4 bilion projek baharu telah diperoleh setakat ini, buku pesanan tertunggak kami berjumlah RM4.6 bilion akan memberikan panduan pendapatan kukuh bagi masa depan," katanya. -DagangNews.com








