Azizan Osman pimpin Misi SME360 bantu PMKS bangkit semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azizan Osman pimpin Misi SME360 bantu PMKS bangkit semula

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 14 Nov - RichWorks X hari ini melancarkan inisiatif terbaharu, Misi Bina SME360: Edisi Usahawan Bangkit 2026, sebagai usaha membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan diri dengan perubahan drastik landskap perniagaan menjelang 2026.

 

Program latihan dan bimbingan percuma itu disasarkan kepada 1,000 usahawan pertama yang komited membina semula strategi dan kekuatan perniagaan masing-masing.

 

Penyertaan kini dibuka kepada 1,000 usahawan pertama dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

 

 

 

 

 

Program dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Disember 2026, dilaksanakan sepenuhnya secara maya dan 100% percuma dengan tajaan RichWorks X.

 

Pendaftaran boleh dibuat di  sme360.my/dnews.

 

Mentor Usahawan merangkap Pengerusi RichWorks X Sdn Bhd, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, pelancaran ini dilakukan ketika dunia bisnes terus berdepan tekanan kos operasi yang meningkat, pelanggan lebih berhati-hati berbelanja, kenaikan harga bahan mentah serta persaingan digital yang semakin sengit, malah pantas.

 

Beliau berkata, dalam era media sosial masa kini, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan mudah melalui platform seperti TikTok tanpa pengalaman, kilang atau modal besar — realiti yang semakin menjerut PMKS di seluruh negara.

 

“Dunia bisnes makin mencabar. Siapa yang tidak berubah akan hilang,” tegas Dr Azizan.

 

Menurutnya, tahun 2025 memperlihatkan perubahan besar dalam ekosistem keusahawanan negara dengan perluasan pelaksanaan SST, inflasi yang menekan margin keuntungan serta persaingan digital yang semakin agresif. Malah, ramai usahawan yang suatu ketika dahulu mencatat jualan jutaan ringgit kini mula hilang arah, senyap dan ada yang menghentikan operasi.

 

“Semuanya bukan kerana mereka tidak pandai, tetapi kerana dunia bisnes berubah terlalu cepat dan terlalu kejam. Tahun 2026 bukan lagi tahun untuk bertahan bagi PMKS, tetapi masa untuk bangkit dengan cara baharu,” jelasnya kepada DagangNews di sini hari ini.


 

Richworks
Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman berbual bicara dengan Editor DagangNews.com, Johardy Ibrahim di Shah Alam pada 14 November 2025.

 


Dr. Azizan berkata semakin ramai usahawan tewas bukan kerana malas, tetapi kerana tidak mampu mengejar kelajuan perubahan pasaran.

 

“Mereka penat, hilang semangat dan ramai tidak sedar bahawa tahun 2026 bakal menjadi tahun paling mencabar buat PMKS. Usahawan perlu ada ilmu, sistem, strategi dan komuniti yang menyokong,” katanya.

 

Bagi membantu lebih ramai usahawan kembali bangkit, Misi Bina SME360: Edisi Usahawan Bangkit 2026 akan dikendalikan secara maya (online) dan dipimpin sendiri oleh Dr. Azizan bersama pasukan RichWorks X, dengan Astro sebagai rakan media strategik.

 

“Kami melancarkan inisiatif ini kerana melihat semakin ramai yang memerlukan panduan sebenar serta strategi praktikal untuk menghadapi realiti pasaran 2026,” ujarnya.

 

Program berkenaan memberi tumpuan kepada tiga komponen utama yang menentukan survival dan pertumbuhan PMKS tahun hadapan, iaitu strategi pemasaran dan jualan, sistem pengurusan serta pembiayaan kewangan, dan pembangunan mindset serta kepimpinan usahawan.

 

Peserta akan mempelajari cara menarik pelanggan baharu meskipun bajet semakin ketat, menyesuaikan strategi pemasaran dengan gelombang AI dan TikTok Commerce, memperkukuh aliran tunai, merancang pembiayaan dengan lebih berkesan serta membina mentaliti tahan lasak bagi memimpin pasukan ketika persaingan semakin getir.

 

Mengulas lanjut, Dr. Azizan menegaskan setiap episod ketidaktentuan ekonomi sebenarnya membuka peluang baharu untuk mereka yang bersedia.

 

 

 

 

 

 

 

“Setiap kali ‘badai’ datang, dua jenis usahawan akan muncul — yang hanyut dan yang bangkit lebih tinggi. Kami di RichWorks X mahu bantu lebih ramai menjadi kumpulan kedua,” katanya.

 

Beliau menyeru usahawan agar tidak lagi menunggu masa sesuai untuk berubah kerana masa itu tidak akan datang dengan sendiri.

 

“2026 bukan masa untuk bertahan. Ia masa untuk bangkit semula,” tegasnya. - DagangNews.com