KUALA LUMPUR 18 April - Didorong oleh pelan jangka panjang untuk terus berinovasi demi mobiliti inklusif, Setel memperkenalkan versi ringan dikenali sebagai Setel Lite yang mempunyai saiz muat turun yang kecil.
Ia boleh digunakan pada peranti Android yang dilengkapi dengan Android 4.4 atau EMUI 3 ke atas dan mampu berfungsi dengan sambungan internet yang perlahan seperti EDGE, 2G dan 3G sekali gus memberikan pengalaman mengisi petrol lebih ringkas serta lancar buat pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, Setel Lite dibina hasil daripada maklum balas pelanggan, memahami kesukaran urus niaga yang mereka hadapi dan sentiasa berinovasi demi mobiliti inklusif.
Katanya, pihaknya berharap dapat menjadikan pengalaman mengisi petrol lebih mudah diakses dan mesra pengguna kepada segmen komuniti yang kurang diberi perhatian dan mereka yang mempunyai isu sambungan selular serta fungsi telefon yang terhad.
"Setel Lite juga berharap dapat mengurangkan kebimbangan dalam penggunaan aplikasi untuk mengisi petrol disebabkan oleh ciri-ciri yang canggih, terutamanya dalam kalangan warga emas.
"Aplikasi tersebut juga merupakan satu inisiatif mendorong ke arah masyarakat tanpa tunai untuk pelanggan yang sering bergantung kepada penggunaan tunai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain daripada muka aplikasi yang dipermudahkan, Setel Lite direka dengan fungsi utamanya dikekalkan iaitu pengisian petrol, pengumpulan dan penyemakan mata ganjaran Mesra serta mengekalkan ciri pembayaran Dompet Keluarga.

Pengguna Setel Lite masih boleh menggunakan Dompet Setel untuk membayar petrol dari kenderaan mereka, memperoleh sehingga 3x mata ganjaran Mesra dengan pembayaran petrol dan menyemak mata ganjaran Mesra seperti aplikasi Setel versi penuh.
Pengguna juga boleh menambah nilai Dompet Setel menggunakan wang tunai melalui e-baucar yang boleh dibeli di stesen Petronas di seluruh negara dan perbankan dalam talian.
Selain itu, pengguna Dompet Keluarga yang membayar petrol untuk ahli keluarga, boleh menggalakkan mereka menggunakan Setel Lite sekiranya versi ringan aplikasi Setel ini lebih sesuai dengan pilihan dan keperluan mereka. - DagangNews.com








