PublicInvest yakin terhadap prospek jangka pendek WCT didorong projek Lapangan Terbang Subang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest yakin terhadap prospek jangka pendek WCT didorong projek Lapangan Terbang Subang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 18 April - Susulan pertemuan dengan pengurusan WCT Holdings Berhad, PublicInvest Research terus yakin terhadap prospek jangka pendek kumpulan.

 

Antaranya, projek penjanaan semula Lapangan Terbang Subang dilihat akan menyumbang RM28 juta secara purata kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) memandangkan kumpulan tersebut akan bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings (MAHB) untuk projek bernilai kira-kira RM1.5 bilion itu dalam tempoh tiga tahun.

 

“Dengan mengandaikan 70% kepentingan dalam usaha sama, projek Lapangan Terbang Subang akan menambah lebih kurang RM1.1 bilion kepada buku pesanan semasanya, membentuk 70% daripada andaian penambahan buku pesanan FY23 kami,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pengumuman rasmi mengenai projek ini akan didedahkan tidak lama lagi, sebelum 2QFY23.

 

Selain itu, firma tersebut berkata WCT merancang untuk mengurangkan penggearan bersih kumpulan bagi meringankan beban hutang dengan melupuskan tanah yang dianggarkan meningkatkan pendapatan sebanyak RM68 juta hingga 85 juta.

 

Menurut firma itu, rancangan tersebut mengurangkan penggearan bersih kumpulan daripada 0.7 kali kepada 0.5 kali, di mana pelupusan tanah pegangan bebas 52 hektar di Lembah Klang itu dianggarkan boleh mencecah RM270 juta hingga 340 juta berdasarkan harga RM120 hingga 150 kaki persegi dalam nilai pasaran.

 

Firma itu juga percaya WCT sepatutnya mempunyai modal yang mencukupi dalam tempoh terdekat memandangkan kebanyakan perniagaannya kian pulih dan masih mempunyai RM254.8 juta daripada penyelesaian Timur Tengah yang difahamkan dibayar kira-kira RM42.5 juta setiap suku.

 

Selain itu, firma itu difahamkan bahawa kumpulan itu juga sedang meneroka pilihan untuk mengewangkan aset pelaburan matang sebagai strategi untuk mengurangkan pinjamannya, di mana firma itu percaya kumpulan tersebut telah pun berbincang untuk melupuskan pusat beli-belahnya seperti Aeon Bandar Bukit Tinggi, Klang pada harga melebihi RM600 juta.

 

Firma itu menganggarkan kira-kira RM845 juta diperlukan untuk menurunkan nisbah penggearan kepada sasaran dalaman sebanyak 0.5 kali tidak termasuk sukuk kekal.

 

“Paradigm Malls di KL dan Johor juga boleh diwangkan, yang kami faham, berkemungkinan melalui pelupusan langsung daripada cadangan REIT yang dicadangkan beberapa tahun lalu, dengan jumlah nilai buku daripada kedua-dua aset ini adalah kira-kira RM1.8 bilion pada 31 Disember 2022,” katanya.

 

PublicInvest juga berpendapat penilaian semasa kumpulan adalah menarik, berdagang pada PE hadapan 9 kali, di bawah purata PE hadapan lima tahun sebanyak 13 kali dan unjuran pendapatan dikekalkan buat masa ini memandangkan mereka telah mengambil kira penambahan buku pesanan yang lebih tinggi untuk FY23-25.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 52sen sesaham. -DagangNews.com