Perolehan aset daripada Repsol lonjak untung bersih Hibiscus Petroleum kepada RM215.5 juta pada suku keempat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan aset daripada Repsol lonjak untung bersih Hibiscus Petroleum kepada RM215.5 juta pada suku keempat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Hibiscus Petroleum Bhd. merekodkan perolehan sebelum faedah, percukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM433.7 juta dengan keuntungan bersih berjumlah RM215.5 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022.

 

Keuntungannya melonjak empat kali ganda daripada RM49.6 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disumbangkan menerusi perolehan aset daripada Repsol Exploración, S.A pad Januari lalu dan purata harga minyak realisasi yang agak tinggi sekitar AS$120 setong.

 

Pada suku keempat 2022, aset yang diperoleh itu menyumbang sebanyak RM199.9 juta atau 46% kepada jumlah EBITDA kumpulan dan RM120.2 juta atau 56% kepada keuntungan bersih.

 

Dalam tempoh ini, kira-kira 2 juta tong bersamaan minyak (MMboe) telah dijual, yang terdiri daripada 1.4 juta tong (MMbbl) minyak dan penyejat manakala gas menyumbang jumlah jualan kira-kira 590 ribu tong bersamaan minyak (Mboe).

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22), kumpulan merekodkan EBITDA sebanyak RM1.1 bilion manakala keuntungan bersih RM613.1 juta dengan pendapatan sebanyak RM1.7 bilion masing-masing lebih tinggi berbanding FY21 sebanyak RM380.8 juta, RM103.7 juta dan RM804.8 juta.

 

Menerusi perolehan aset itu, kumpulan mencapai sasarannya untuk FY22 dan menjual sejumlah 4.6 MMboe minyak, penyejat dan gas - peningkatan ketara dalam jumlah jualan jika dibandingkan dengan 3.7 MMbbl minyak yang dijual pada FY21.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Dr Kenneth Pereira dalam kenyataan berkata, kumpulan telah menyelesaikan pemerolehan aset minyak dan gas berkualiti tinggi daripada Repsol pada Januari lalu.

 

Katanya, dengan harga minyak yang tinggi, jumlah tambahan yang dihantar daripada aset tersebut membolehkan kumpulan menutup tahun kewangan 2022 dengan kukuh

 

"Secara keseluruhan, kami tetap komited ke arah menyampaikan nilai untuk semua pemegang kepentingan kami dengan bekerja secara selamat dan bertanggungjawab di samping memenuhi matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Sebahagian daripada usaha ini juga melibatkan dialog berterusan dengan pengawal selia dan kami sedang melakukan banyak usaha dalam bidang ini, terutamanya semasa tempoh kerajaan mengutamakan isu keselamatan tenaga jangka panjang," katanya. - DagangNews.com