Penstrukturan TAA: AirAsia mungkin perlu akui kerugian lebih RM500 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penstrukturan TAA: AirAsia mungkin perlu akui kerugian lebih RM500 juta

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 April - AirAsia Group Berhad mungkin perlu memperakui (recognize) kerugian yang tidak diiktiraf sebelum ini, melebihi RM500 juta atau pada kadar 13 sen sesaham di dalam tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mendapati kebanyakan daripada hutang yang tidak perakui AirAsia sebelum ini, setakat FY20 iaitu sebanyak RM557 juta adalah berkaitan TAA, menurut penganalisis firma penyelidikan itu, Yin Shao Yang.

 

Shao Yang membuat andaian tersebut memandangkan nilai suntikan pelaburan baharu ke dalam TAA oleh pelabur yang tidak diketahui kurang daripada hutang tersebut, iaitu pada kadar 3,150 juta baht atau RM412 juta seiring usahanya untuk disenarai awam di Bursa Thailand (SET). 

 

Sebagai rekod, AirAsia memiliki 45% kepentingan di dalam TAA dan sebanyak 55% lagi dipegang oleh Asia Aviation PCL (AAV).

 

“AirAsia memperakui kerugian saham daripada syarikat bersekutu tersebut mencapai ke tahap pelaburan mereka di dalamnya. Syarikat penerbangan itu berhenti memperakui kerugian saham tersebut, apabila ia melebihi jumlah pelaburan. 

 

“Apabila ia (AirAsia) melakukan pelaburan baharu, syarikat penerbangan itu perlu memperakui kerugian yang tidak diiktiraf sebelum ini. Kami mendapati kerugian tidak diperakui AirAsia setakat penghujung FY20 berkaitan TAA. 

 

“Walaupun hampir kesemuanya bukan tunai, namun AirAsia mungkin perlu memperakui kerugian lebih RM500 juta berhubung jumlah suntikan ekuiti yang kurang daripada RM577 juta,” jelas Shao Yang dalam nota kajiannya bertarikh 28 April lalu.

 

Shao Yang yang mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas saham AirAsia melihat perakuan kerugian tersebut akan memburukkan lagi nilai buku sesaham (BVPS) syarikat penerbangan itu, yang sememangnya negatif ketika ini.

 

Dalam makluman AirAsia di Bursa Malaysia baru-baru ini, Lembaga Pengarah AAV telah memberi kelulusan terhadap resolusi pelan penstrukturan semula korporat dan modal TAA.

 

Baca : IPO Thai AirAsia dijangka raih RM358.43 juta

 

Pelabur yang tidak dinamakan itu menyediakan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM412 juta kepada TAA berbentuk pinjaman yang boleh diubah atau bon bagi tempoh tiga tahun. 

 

Sekiranya TAA disenaraikan di SET, hutang yang boleh diubah atau bon itu boleh ditukar ke dalam bentuk saham TAA pada kadar 20.39 baht sesaham. 

 

Jika tidak diubah, sebanyak 3% faedah setiap tahun akan ditambah ke dalam pinjaman atau bon tersebut sehingga tempoh matang. 

 

Proses ini dijangka selesai pada pertengahan Mei 2021. 

 

“TAA akan cuba untuk disenaraikan dalam SET pada separuh pertama 2022 (1H22). AAV yang memiliki 55% dalam TAA berhasrat untuk mengedarkan saham TAA kepada pemegang ekuiti dan mencairkannya sendiri. 

 

“Sekiranya TAA disenaraikan, AirAsia akan menukarkan hutang TAA ke dalam bentuk ekuiti iaitu saham baharu pada kadar 20.39 baht sesaham atau pinjaman boleh ditukar atau bon pada kadar 20.39 baht sesaham. 

 

“Dalam pada itu, AirAsia juga akan menyuntik 513.2 bhat atau RM67 juta ekuiti untuk mengekalkan pemegangan 45% dalam TAA,” tambah Shao Yang. 

 

Maybank IB mengekalkan sasaran harga (TP) AirAsia pada kadar RM0.36 sesaham.

 

Setakat 10.07 pagi, nilai saham AirAsia menyusut 0.56% kepada 0.895 sen. - DagangNews.com