Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri ditingkatkan kepada RM400 juta - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri ditingkatkan kepada RM400 juta - PM Anwar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 hari ini berkata, kerajaan bersetuju dengan semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP.

 

"Keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala 'pavemen' Jalan Persekutuan. 

 

Beliau berkata, penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023. 

 

Katanya, ini terutamanya untuk menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan. 

 

"Peruntukan tambahan ini juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil Bumiputera. Dengan mengambil kira kemampuan kewangan semasa, Kerajaan Persekutuan tetap terus komited untuk memenuhi keperluan penyelenggaraan Jalan Persekutuan," katanya.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 18 April 2022.

 

 

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain yang berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan serta penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan. 

 

Antaranya melibatkan Jalan Kampung, Jalan Taman, dan papan-papan tanda jalan lain selain daripada penunjuk arah.

 

"Kerajaan Negeri disaran untuk memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar sahaja. 

 

"Langkah ini bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas," katanya.

 

Beliau berkata, sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan MADANI, Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan kenaikan peruntukan Pemberian Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada 2022.

 

Menurut beliau, kenaikan ini ialah galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.

 

Selain itu katanya, bagi tujuan penambahbaikan ke atas pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, kementerian bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja melibatkan pinjaman baharu bagi projek-projek  pembangunan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia.

 

"Pendekatan ini dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang  disediakan secara pinjaman, membantu Kerajaan Negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan serta akan melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan," katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju agar pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan 2 tahun sehingga 31 Disember 2024 melibatkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta. 

 

"Ini juga sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh. Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berada pada tahap yang terbaik. 

 

"Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada Kerajaan Negeri setiap tahun. 

 

"Besarlah harapan Kerajaan Persekutuan supaya pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi melaksana pembangunan negara yang lebih seimbang selaras dengan gagasan Malaysia MADANI," katanya. - DagangNews.com