Pemansuhan subsidi dijangka lonjak harga makanan kepada 4.5% tahun ini, kata pakar ekonomi MIDF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemansuhan subsidi dijangka lonjak harga makanan kepada 4.5% tahun ini, kata pakar ekonomi MIDF

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Julai - Harga makanan dijangka meningkat 4.5% tahun ini berbanding unjuran sebelum ini pada 3.5% terutamanya disebabkan pemansuhan subsidi terhadap beberapa barangan makanan. 

 

MIDF Research berkata, inflasi makanan pada Jun yang melonjak 6.1% tahun ke tahun adalah yang tertinggi pernah direkodkan setakat ini di Malaysia. 

 

Katanya, dalam kalangan barangan makanan, inflasi daging meningkat paling tinggi sebanyak 11.9% tahun ke tahun manakala buah-buahan dan sayur-sayuran mencapai paras tertinggi lebih daripada 4 tahun. 

 

 

"Sebagai pengimport makanan bersih, penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak 6% tahun ke tahun pada Jun 2022 (hampir kepada paras terendah 5 tahun) telah menyebabkan sebahagiannya berlaku lonjakan inflasi makanan.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan inflasi makanan domestik akan meningkat dengan kadar sederhana pada separuh kedua ini berikutan pengurangan sokongan subsidi makanan dan sedikit penurunan harga komoditi global terutama harga berkaitan pertanian," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Inflasi meningkat kepada 3.4% pada Jun 2022, harga makanan kekal jadi penyumbang utama

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Jun 2022 meningkat 3.4% tahun ke tahun kepada 127.4 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9%.

 

Ia menyaksikan indeks makanan meningkat 6.1% dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut.

 

Komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing naik 6.1% dan 6.6% yang mendorong kenaikan inflasi makanan.

 

Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (+10.5%), nasi berlauk (+9.7%), masakan daging (+7.8%) dan makanan berasaskan mi (+7%).

 

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, eksport bijirin melalui pelabuhan Laut Hitam, Ukraine yang dijangka disambung semula dilihat boleh mengurangkan tekanan inflasi makanan global dalam jangka masa terdekat. 

 

Menurut firma itu, inflasi global akan menurun sedikit pada separuh kedua ini disokong oleh penurunan sederhana harga komoditi dan kos makanan.

 

"Harga minyak sawit mentah Malaysia, antara lain semakin menyederhana daripada melebihi RM6,000 satu tan metrik pada awal Jun 2022 kepada di bawah RM4,000 pada Julai," jelasnya. 

 

MIDF Research berkata, dalam persekitaran kenaikan harga komoditi global, tekanan inflasi di negara ini dipengaruhi oleh inflasi makanan yang lebih tinggi.

 

"Sebaliknya, trend penurunan harga komoditi global mungkin mengurangkan tekanan inflasi makanan pada separuh kedua ini," katanya.

 

Bagi subsidi bahan api pula, firma itu percaya kerajaan akan mengekalkan mekanisme sedia ada sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini. 

 

Dengan pengukuhan permintaan dalam negeri, ia mengekalkan unjuran IHP utama tahun ini pada purata 2.8%. - DagangNews.com