Inflasi meningkat kepada 3.4% pada Jun 2022, harga makanan kekal jadi penyumbang utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi meningkat kepada 3.4% pada Jun 2022, harga makanan kekal jadi penyumbang utama

Kenaikan harga roti canai sehingga 10% merupakan antara penyumbang utama kenaikan inflasi makanan.

KUALA LUMPUR 22 Julai -  Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Jun 2022 meningkat 3.4% tahun ke tahun kepada 127.4 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9%, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat 6.1% dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut.

 

Katanya, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan kenaikan dan mendorong inflasi keseluruhan kepada 3.4%.

 

“Pengangkutan meningkat 5.4% diikuti restoran dan hotel (5%), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4%), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2%) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.2%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Didapati semua subkumpulan bagi makanan dan minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8% hingga 11.9%.

 

Dalam pada itu, menurut beliau, komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing naik 6.1% dan 6.6% yang mendorong kenaikan inflasi makanan.

 

Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (+10.5%), nasi berlauk (+9.7%), masakan daging (+7.8%) dan makanan berasaskan mi (+7%).

 

“Ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat 17.2% berbanding peningkatan 13.4% pada Mei 2022.
 

“Purata harga ayam mentah pada Jun 2022 menokok kepada RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada Jun 2021,” katanya.

 

Menurut Mohd. Uzir, peningkatan tersebut adalah selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung, gandum dan kacang soya, iaitu komposisi terbesar penyediaan dedak ayam.

 

Inflasi meningkat 2.8% tahun ke tahun kepada 126.6 bagi suku kedua 2022 dan menokok 2.5% tahun ke tahun pada enam bulan pertama 2022.

 

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya pada 8.1%, manakala Labuan dan Melaka merupakan 2 negeri yang merekodkan peningkatan paling rendah, masing-masing sebanyak 2.5%," tambahnya. - DagangNews.com