KUALA LUMPUR 24 Ogos - MIDF Research menyemak turun harga sasaran Gabungan AQRS Bhd. kepada 52 sen daripada 56 sen selepas prestasi kewangan bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 berada di bawah jangkaan firma.
Bagi tempoh enam bulan itu, keuntungan teras sebanyak RM10.6 juta adalah di bawah anggarannya dan konsensus masing-masing hanya merangkumi 29% dan 26% daripada unjuran tahun kewangan penuh.
Sejajar dengan semakan itu, firma tersebut mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) lebih rendah kepada RM348.7 juta daripada RM383 juta sebelum itu dengan keuntungan teras sebanyak RM32.9 juta berbanding anggaran RM36.6 juta.
Ia bagi mencerminkan pandangan terkini terhadap keuntungan kumpulan, yang masih berada di bawah jangkaannya.
"Selain itu, kami juga menyemak semula pendapatan bagi FY23 hingga FY24 daripada RM420.8 juta hingga RM462.31 juta kepada RM383.6 juta hingga RM421.9 juta manakala keuntungan teras daripada RM49.7 juta hingga RM40.5 juta kepada RM45.3 juta hingga RM37.9 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, untung bersih Gabungan AQRS meningkat kepada RM5.55 juta daripada RM3.64 juta manakala pendapatan susut kepada RM79.08 juta daripada RM98.74 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Untuk tempoh kumulatif enam bulan, ia merekodkan untung bersih sebanyak RM10.98 juta, lebih tinggi daripada RM8.18 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut kepada RM150.81 juta daripada RM185.23 juta.
Segmen pembinaan kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM62.1 juta, susut 11.9% tahun ke tahun berbanding RM70.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan tempoh yang lebih perlahan secara bermusim sempena Ramadan dan Hari Raya, di samping berdepan masalah kekurangan buruh.
Namun, di sebalik prestasi kewangan yang kurang memuaskan itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gabungan AQRS.
"Kami kekal positif dengan prospek keuntungan kumpulan disokong nilai kontrak yang kukuh sebanyak RM1.07 bilion, prospek sektor pembinaan yang semakin cerah dan cadangannya untuk mengembangkan sektor pembangunan hartanah.
"Selain itu, kami juga berpendapat, kumpulan merupakan antara penerima manfaat utama daripada projek mega infrastruktur seperti MRT3 dan beberapa projek mega yang akan dilaksanakan kelak, berdasarkan pengalaman luas dan penglibatannya dalam projek seperti MRT1, LRT3, SUKE dan kerja-kerja menaik taraf beberapa lebuh raya," jelasnya.
Setakat 11.56 pagi, harga saham Gabungan AQRS susut 0.5 sen atau 1.59% kepada 31 sen dengan 81,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








