KUALA LUMPUR 24 Ogos - Situasi kekurangan tenaga buruh yang dialami Sime Darby Plantation Bhd. dijangka menjejaskan pendapatannya berikutan pengeluaran tandan buah segar yang semakin menurun.
RHB Research berkata, syarikat perladangan itu menyemak semula sasaran pengeluaran tandan buah segar bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) kepada pertumbuhan negatif tidak lebih daripada 10% berbanding sebelum ini antara 0 hingga -5%, dengan mengambil kira situasi kekurangan tenaga buruh yang dialaminya.
Menurut firma itu, kumpulan menerima kemasukan 170 pekerja asing baru-baru dan berharap jumlah itu akan meningkat kepada 3,000 orang menjelang akhir tahun ini.
"Masalah buruh yang dialaminya semakin buruk dengan kekurangan meningkat kepada 38% daripada 32% pada suku lalu.
"Walaupun keuntungan bersih FY22 sepatutnya lebih kukuh tahun ke tahun, pengeluaran tandan buah segar berkemungkinan akan terus mencatat penurunan kerana kekurangan buruh akan terus mengheret turun pendapatannya.
"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran pengeluaran tandan buah segar bagi FY22 kepada -8.4% berbanding 0% sebelum ini, tetapi mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi FY23 hingga FY24 antara 4 hingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Sime Darby Plantation catat untung bersih RM812 juta pada suku kedua, isytihar 10 sen dividen
Sime Darby Plantation merekodkan untung bersih sebanyak RM812 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 dengan pendapatan berjumlah RM5.59 bilion, masing-masing meningkat 32% dan 27% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini menjadikan untung bersih bagi tempoh enam bulan meningkat 30% kepada RM1.53 bilion dengan pendapatan berjumlah RM9.97 bilion, setelah meningkat 23% daripada tahun kewangan 2021.
Harga minyak sawit mentah dan isirung sawit yang memberangsangkan terus menyokong prestasi tahun ke tahun yang lebih kukuh, walaupun pengeluaran tandan buah segar terjejas dengan masalah kekurangan buruh yang berpanjangan bagi operasinya di Malaysia.
Selepas mengambil kira pengeluaran tandan buah segar yang lebih rendah dan kos unit yang lebih tinggi, RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan Sime Darby Plantation sebanyak 5 hingga 12% bagi FY22 hingga FY24.
Sejajar dengan semakan itu, firma tersebut menyemak turun harga sasarannya kepada RM4.60 daripada RM4.80 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'neutral'.
Menurut firma itu, sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai larangan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Amerika Syarikat (CBP AS) terhadap Sime Darby Plantation sejak ia mengemukakan laporan audit bebas, Impactt pada akhir April lalu.
"Sehingga kini, kumpulan masih menunggu CBP AS mengubah suai atau membatalkan penemuan buruh paksa dan telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan agensi penguatkuasaan sejak penyerahan laporan audit berkenaan, termasuklah menganjurkan lawatannya ke Malaysia antara 31 Mei hingga 4 Jun lalu," katanya.
Setakat 10.00 pagi ini, harga sahamnya menokok 4 sen atau 0.91% kepada RM4.44 dengan 142,600 saham diniagakan. - DagangNews.com








