KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kenanga Research menyemak turun penarafan Dutch Lady Milk Industries Bhd. kepada 'underperform' berbanding 'market perform' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada RM28.20 daripada RM35.60 sesaham.
Sejajar dengan semakan itu, ia mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 19% dan 4%.
Ini berikutan prestasi kewangannya bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 tersasar daripada jangkaan firma itu dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) merangkumi 52% daripada unjurannya dan 49% konsensus.
Menurutnya, walaupun pendapatan bagi tempoh itu berkembang 18% tahun ke tahun tetapi PATAMI susut 5%, yang menunjukkan kenaikan harga tidak mencukupi untuk menangani kos input yang lebih tinggi.
Secara dasarnya, firma itu berhati-hati dengan prospeknya pada separuh kedua ini memandangkan tiada sebarang sambutan perayaan utama dan juga tekanan inflasi.
"Namun, kami menjangkakan jualannya akan terus kukuh dan kembali normal kepada tahap sebelum pandemik dengan purata sekitar RM550 juta pada separuh kedua 2022.
"Bagaimanapun, tekanan kos akan berterusan dengan gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan dan juga perang Rusia-Ukraine.
"Pada masa sama, kami percaya Dutch Lady memiliki kewajipan moral dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk tidak menaikkan harga produk makanan rujinya secara berlebihan yang membentuk diet harian penduduk," katanya dalam nota kajian hari ini.
Untung bersih Dutch Lady pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 merosot kepada RM21.53 juta berbanding RM27.29 juta pada suku tahun sama pada tahun lalu manakala pendapatan meningkat kepada RM340.09 juta daripada RM284.04 juta sebelum ini.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya susut kepada RM42.1 juta daripada RM44.16 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat RM639.96 juta berbanding RM542.67 juta.
Pendapatan lebih tinggi direkodkan pada suku kedua itu didorong terutamanya oleh permintaan yang kukuh secara berterusan untuk susu sebagai produk penting, kempen Ramadan yang berjaya dan kenaikan harga yang perlu untuk mengimbangi tekanan inflasi.
Setakat 10.55 pagi ini, harga saham Dutch Lady susut 12 sen atau 0.37% kepada RM32.60 dengan 3,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








