Ismail bersara sebagai pengerusi eksekutif Magma, diganti Lee Hock Seng | DagangNews Skip to main content

Ismail bersara sebagai pengerusi eksekutif Magma, diganti Lee Hock Seng

Dari kiri; Omar Azlan Bin Ismail @ Farouk; Dato’ Seri Ismail @ Farouk Bin Abdullah; Dato’ Sri Lee Hock Seng dan Dato' Sri Thomas Liang Chee Fong, Pengarah Urusan Kumpulan Magma Group.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 MEI – Magma Group Berhad, sebuah kumpulan pegangan pelaburan dan hospitaliti,  mengumumkan peralihan penting dalam kepimpinan kanan pengurusannya.

 

Dato’ Seri Ismail @ Farouk Abdullah telah mengumumkan persaraannya sebagai Pengerusi Eksekutif, dengan Dato’ Sri Lee Hock Seng, yang kini menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif akan mengambil alih jawatan tersebut.

 

Peralihan kepimpinan ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik yang rapi, sekali gus, mencerminkan komitmen Magma terhadap kesinambungan dan kepimpinan yang mantap.

 

Dalam kenyataan di sini, Ismail melahirkan keyakinan Hock Seng merupakan individu yang tepat untuk menerajui Magma mengharungi cabaran dan peluang masa depan, bagi memastikan trajektori pertumbuhan Magma kekal mampan dan berterusan.

 

Beliau juga berkongsi rasa bangga dan ucapan penghargaan kerana telah mengetuai Magma Group Berhad melalui era pertumbuhan transformatif syarikat.

 

"Melihat Magma muncul lebih kukuh dan berdaya tahan amatlah membanggakan. Saya yakin Dato’ Sri Lee Hock Seng merupakan individu yang tepat untuk menerajui Magma pada fasa seterusnya.

 

"Pengetahuan beliau yang mendalam mengenai operasi syarikat, kefahaman dinamik pasaran, serta pandangan strategik yang bernas akan menjadi aset tidak ternilai yang memacu Magma ke tahap yang lebih tinggi," kata beliau.

 

Sementara itu, Hock Seng berkata, beliau komited untuk mengukuhkan asas yang sedia ada dan memacu Magma ke arah pertumbuhan lestari, memastikan nilai terus dijana untuk para pemegang saham dan pihak berkepentingan syarikat.

 

Magma kekal teguh dengan komitmennya untuk menegakkan tadbir urus korporat yang unggul dan mengamalkan pe­niagaan beretika di bawah kepimpinan yang baharu. 

 

Dengan langkah peralihan ini, Syarikat yakin ia berupaya untuk meraih keunggulan pasaran yang lebih kukuh, sekali gus meningkatkan sumbangannya kepada landskap ekonomi dan sosial. - DagangNews.com