Bosch sumbang RM50,000 tingkatkan kemudahan Yayasan Sunbeams Home | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bosch sumbang RM50,000 tingkatkan kemudahan Yayasan Sunbeams Home

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Pembekal teknologi perkhidmatan global terkemuka, Bosch menyumbang sebanyak RM50,000 untuk meningkatkan kemudahan kepada Yayasan Sunbeams Home (YSH), sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR).

 

Projek ini meliputi pengubahsuaian perpustakaan dengan reka bentuk dalaman, perabot baharu, dan sistem perpustakaan untuk menguruskan lebih 2,000 judul buku, serta pusat pembelajaran dengan penggantian lantai, pembaikan kritikal bilik mandi dan siling.

 

Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Klaus Landhaeusser berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjadi sebuah syarikat berasaskan nilai sedar sosial yang berdedikasi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat daripada semua latar belakang. 

 

Katanya, pendidikan boleh mengubah kehidupan, dan merupakan tonggak CSR yang penting di Bosch. 

 

"Ini menjadikan YSH sebagai rakan CSR ideal kami. Dengan keperluan mendesak mereka untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka, Bosch melangkah untuk mewujudkan pendidikan yang kondusif dan suasana belajar di cawangan utama mereka di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambah Landhaeusser, pada masa akan datang, pihaknya ingin melangkaui inisiatif sekarang, meningkatkan usaha untuk meneroka cara yang berbeza menyokong kanak-kanak seperti menyediakan bengkel kemahiran hidup dan aktiviti menarik lain dengan penglibatan Bosch," katanya.

 

Pengasas YSH, Alvin Tan Ooi Seng pula berkata, bekerja dengan Bosch merupakan pengalaman dan pendedahan yang hebat untuk mereka. 

 

 

bosch
Alvin Tan Ooi Seng (kiri) dan Klaus Landhaeusser

 

 

"Di luar kerja-kerja pengubahsuaian, kami belajar tentang produk, nilai, budaya dan dasar Bosch. 

 

"Kami kagum dengan tatakelakuan mereka dan profesionalisme yang tinggi. Ini adalah jenis orang dewasa yang saya harap anak-anak kita akan membesar apabila mereka meninggalkan YSH," katanya.

 

 

bosch

 

 

YSH menempatkan seramai 104 kanak-kanak berumur 2 hingga 18 tahun di kedua-dua rumahnya di Kuala Lumpur dan Alor Gajah, Melaka. 

 

Ia memerlukan usaha mengumpul dana melalui usaha berterusannya menerusi Kempen Hari RM1A Hari bagi menyokong operasi harian organisasi. Untukmaklumat lanjut, sila layari https://sunbeamshome.org. - DagangNews.com