ASNB raih pelaburan lebih RM6 juta menerusi Penasihat Pelaburan Robo | DagangNews Skip to main content

ASNB raih pelaburan lebih RM6 juta menerusi Penasihat Pelaburan Robo

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Mei - Penasihat Pelaburan Robo (RIA) Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) berjaya menarik lebih RM6 juta dari segi jumlah pelaburan setakat 2 Mei lalu.

 

Syarikat pengurusan unit amanah tersebut dan sebuah syarikat pengurusan pelaburan digital milik Permodalan Nasional Berhad telah melancarkan ciri baharu tersebut dalam aplikasi myASNB secara berperingkat bermula 28 Mac lalu dan dibuka secara rasminya kepada 3 juta pengguna aplikasi MyASNB bermula 4 Mei 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman, berkata jumlah pelaburan itu adalah daripada lebih 16,000 pengguna yang sudah melabur dalam RIA.

 

"RIA merupakan satu ciri baharu dalam aplikasi myASNB yang direka untuk menjadikan pelaburan mudah dan boleh disertai bermula RM100 serta boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

"Pelaburan ini tanpa had dan pengguna boleh melabur sehingga RM100,000 dan boleh mengeluarkan pelaburan mereka tanpa had serta sekatan.

 

"Pihak kami teruja untuk memperkenalkan RIA dalam pasaran Malaysia bagi menandakan satu langkah penting ke arah menjadikan pelaburan lebih inklusif dan mudah diakses oleh pelanggan dalam mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Robo (RIA) di Kompleks Beli Belah IOI Mall di sini, Sabtu.

 

 

iktisad

 

 

Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pelaburan,Pelaburan Persendirian dan Strategi, PNB,Rick Ramli dan Naib Presiden, Robo Advisory, ASNB, Mohd Izzat Fadhli Azman.

 

Muzaffar berkata, pada tahun pertama ini pihaknya tidak menyasarkan sebarangan jumlah pelaburan, sebaliknya mengharapkan lebih ramai pelabur menyertai RIA untuk masa depan mereka.

 

Menurutnya, ASNB bukan hanya komited dalam menyediakan penyelesaian pelaburan yang inovatif, tetapi juga dalam menggalakkan literasi kewangan dan memperkasa rakyat Malaysia untuk membuat keputusan bermaklumat bagi masa depan kewangan mereka.

 

Katanya, pelaburan ini diyakini memberi pulangan yang baik kepada pelabur dengan menyediakan pemilihan portfolio automatik, berdasarkan penilaian risiko individu yang terdiri daripada dana patuh Syariah ASNB. - DagangNews.com