KUALA LUMPUR 13 Feb – Verdant Solar Holdings Berhad mengalami kerugian bersih RM4 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 disebabkan kos penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM2.47 juta.
Kumpulan itu berkata, kerugian sebelum cukai bagi 2QFY26 secara asas yang diselaraskan adalah RM2.98 juta, berpunca daripada isu perbelanjaan penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 22 Oktober 2025.
Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 31 Disember 2025 (1HFY26), ia mencatatkan hasil RM30.71 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM1.26 juta selepas mengambil kira kos penyenaraian tersebut.
"Sehingga akhir Disember 2025, buku tempahan kumpulan kekal kukuh pada RM38 juta, meningkat lebih 40% berbanding RM27 juta pada 30 September 2025," maklum Verdant Solar kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, kedudukan kewangan kumpulan berkenaan turut disokong oleh aliran tunai yang sihat berjumlah RM54 juta manakala jumlah pinjaman dan pembiayaan kurang daripada kira-kira RM1 juta.
Dalam pada itu, Pengarah Urusannya, Lim Tzer Haur berkata, prestasi suku semasa dipengaruhi oleh fasa peralihan industri susulan penamatan dasar Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) pada Jun 2025.
Di samping itu jelas beliau, ketiadaan sebarang rangka kerja insentif interim sebelum pelaksanaan Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) pada Januari 2026 turut memberi kesan.
"Situasi ini dikenal pasti menyebabkan pendekatan secara lebih berhati-hati dalam pasaran dan juga memperlahankan pelaksanaan projek serta pengiktirafan hasil dalam tempoh yang dikaji," katanya.
Bagaimanapun pelaksanaan Solar ATAP dijangka membuka pemulihan serta menyediakan mekanisme bagi Verdant Solar memperluas penggunaan panel solar bumbung dalam segmen kediaman dan komersial.
Kumpulan itu juga merancang memperluas jejak perkhidmatan di wilayah pertumbuhan utama Semenanjung Malaysia, selain meneroka kerjasama strategik terpilih bagi memperkukuh keupayaan solar bersepadu.
Syarikat itu tambahnya, kekal berdisiplin dalam pengurusan modal dan kecairan serta perolehan inventori bagi mengurangkan kesan turun naik harga komoditi global, termasuk pergerakan harga logam perak.
Secara keseluruhan, Verdant Solar menjangkakan pemulihan beransur-ansur dengan peralihan projek sedia ada kepada hasil apabila rangka kerja baharu industri menunjukkan kesan positif. - DagangNews.com








