Usahawan Malaysia, Yeng Tan raih RM13 juta bangunkan syarikat pemula teknologi fesyen Lekondo di New York | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usahawan Malaysia, Yeng Tan raih RM13 juta bangunkan syarikat pemula teknologi fesyen Lekondo di New York

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 Sept — Usahawan Malaysia, Yeng Tan menarik perhatian luas di arena digital global selepas syarikat pemula teknologi fesyen diasaskannya, Lekondo mengumpul AS$3 juta (RM12.6 juta).

 

Pelaburan itu termasuk daripada Verdict Capital, Andreessen Horowitz (a16z) SR dan DG Daiwa Ventures, sekali gus menjadi suntikan penting kepada beliau membangunkan platform fesyen berasaskan kreativiti.

 

Menurut kenyataan syarikat berkenaan, platform tersebut turut memaparkan ekspresi diri, dengan visi mengubah cara pengguna berkongsi gaya, meneroka fesyen serta menemui inspirasi dari seluruh dunia.

 

"Sejak dilancarkan pada Januari 2026, Lekondo berkembang kepada lebih 100,000 pengguna meliputi 50 negara, menunjukkan potensi membina komuniti fesyen digital yang merentasi sempadan," jelasnya.

 

Tan yang juga pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Lekondo berkata, kebanyakan teknologi  memahami fesyen berdasarkan transaksi seperti perkara yang dibeli, dicari atau diklik pengguna.

 

Sedangkan ujarnya, apa dipakai seseorang memberikan isyarat  cita rasa dan identiti, membolehkan pengguna berkongsi pakaian harian, membina almari digital serta meneroka gaya di pelbagai negara.

 

Yeng Tan Lekondo_DagangNews2026
YENG TAN

 

Idea itu turut dipengaruhi pengalamannya membesar di Malaysia, termasuk di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, yang sarat dengan kepelbagaian budaya dan pengaruh membentuk cita rasa masyarakat.

 

"Kepelbagaian budaya Malaysia, khususnya percampuran tradisi pelbagai kaum menjadi sumber inspirasi cita rasa unik melalui interaksi antara masyarakat, tempat dan rujukan silang budaya," kata Tan lagi.

 

Beliau pernah terlibat membangunkan produk kecerdasan buatan (AI) di GoDaddy, di samping pengalaman luas pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi Lekondo, Mitchell Overfield, dengan Dropbox.

 

Lekondo beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) serta sedang mengembangkan operasinya di Asia, Eropah dan Amerika Latin, dengan tumpuan membina komuniti global berasaskan budaya fesyen.

 

Pelaburan Verdict Capital turut mendapat perhatian ramai kerana diterajui Niko Bonatsos dan Michael Fertik, yang pernah membuat pelaburan awal dalam syarikat teknologi termasuk Snapchat, Discord dan Cursor.

 

"Platform Lekondo dibangunkan dengan misi menjadi hab utama kepelbagaian budaya lahir daripada fesyen, selain memperkasa pengguna berhubung, mengekspresikan diri dan meraikan gaya," jelasnya. - DagangNews.com