Sarawak tetapkan 30% projek berskala besar kepada kontraktor Bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak tetapkan 30% projek berskala besar kepada kontraktor Bumiputera

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept - Kerajaan Sarawak menetapkan 30% daripada kerja bagi projek pembangunan berskala besar yang dikeluarkan kerajaan negeri diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera, sebagai usaha memperluas peluang penyertaan golongan berkenaan dalam agenda pembangunan negeri.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penetapan kuota berkenaan turut dilaksanakan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan menunjukkan hasil yang positif.

 

Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan kuota tersebut mendorong kerajaan negeri memperluaskannya kepada semua projek berskala besar yang dikeluarkan Kerajaan Sarawak.

 

“Dengan adanya kejayaan ini, Kerajaan Sarawak telah memutuskan semua kerja yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak yang besar-besar, 30 peratus mesti diberi kepada Bumiputera.

 

“Dalam erti kata lain, 30 peratus mesti diperuntukkan kepada perusahaan Bumiputera,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak, di Kuching, pada Rabu.

 

Abang Johari berkata, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan negeri memperkukuh penyertaan dan meningkatkan keupayaan kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan yang semakin berkembang.

 

Katanya, Sarawak mempunyai pelbagai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kepada pemain industri pembinaan tempatan.

 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kontraktor Bumiputera perlu meningkatkan keupayaan serta menguasai teknologi baharu bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam projek pembangunan yang lebih kompleks dan berskala besar.

 

Menurutnya, perubahan teknologi dalam industri pembinaan menuntut kontraktor tempatan beralih daripada kaedah tradisional kepada penggunaan jentera dan teknologi moden. - DagangNews.com