KUALA LUMPUR 3 Sept — Malaysia Airlines kembali menghubungkan Kuala Lumpur dengan Fukuoka menerusi penerbangan terus, langkah yang memperkukuh jaringan syarikat penerbangan nasional itu ke Jepun serta membuka akses lebih mudah ke wilayah Kyushu yang terkenal dengan tarikan budaya dan kulinarinya.
Penerbangan sulung MH56 berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.45 malam, 2 September 2026 menggunakan pesawat Boeing 737-8 dan mencatat faktor muatan 88%, manakala penerbangan balik pada 3 September merekodkan faktor muatan lebih tinggi sebanyak 90%.
Mereka turut diraikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
"Perkhidmatan yang disambung semula itu beroperasi sehingga lima kali seminggu dan menjadi satu-satunya penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Fukuoka, sekali gus memberikan pilihan perjalanan yang lebih mudah kepada penumpang dari Malaysia ke Kyushu," kata kenyataan Malaysia Airlines.
Ketibaan penerbangan MH56 di Lapangan Terbang Fukuoka pada 7.05 pagi, 3 September disambut dengan acara simbolik pancuran air, menandakan kepulangan Malaysia Airlines ke wilayah Kyushu selepas perkhidmatan berkenaan disambung semula.
Dengan tambahan Fukuoka, Malaysia Airlines kini menawarkan 26 penerbangan seminggu ke Jepun termasuk perkhidmatan sedia ada ke Tokyo melalui Narita dan Osaka, sekali gus meningkatkan hubungan udara antara Malaysia dan Jepun.

Malaysia Airlines berkata, perkhidmatan itu turut menjadi pencapaian penting dalam kerjasama perniagaan bersama Japan Airlines, apabila penumpang yang melalui Fukuoka boleh membuat sambungan ke destinasi domestik Jepun yang dikendalikan Japan Airlines.
"Antara destinasi yang boleh dihubungkan menerusi perkhidmatan berkenaan termasuk Amami, Sapporo, Izumo, Kochi, Miyazaki, Kagoshima, Yakushima, Matsuyama dan Tokushima, sekali gus memperluas pilihan perjalanan dalam Jepun," jelasnya.
Pada masa sama, Japan Airlines turut meletakkan kod penerbangannya pada perkhidmatan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan Fukuoka, memberikan pengalaman tempahan yang lebih lancar serta pilihan perjalanan yang lebih luas kepada penumpang.
Bagi pelancong dari Jepun pula, laluan itu menawarkan sambungan menerusi Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi domestik Malaysia, ASEAN, Asia Selatan dan Australasia, selain menyokong kempen pelancongan sempena Visit Malaysia 2026.
Untuk meraikan penyambungan semula laluan itu, penumpang boleh menikmati penjimatan sehingga 30% menerusi promosi MATTA Fair bagi tempahan dibuat sehingga 14 September 2026, manakala ahli Enrich menikmati tambahan diskaun 5%.
Pembayaran menggunakan kad VISA melalui laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines pula layak menerima tambahan diskaun 5%, menjadikan penyambungan semula laluan Fukuoka sebagai antara perkembangan penting usaha Malaysia Airlines memperluas hubungan udara Malaysia-Jepun. - DagangNews.com








