HGD rancang 1,000 lagi kediaman dalam pembangunan Aera Township bernilai RM828 juta di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HGD rancang 1,000 lagi kediaman dalam pembangunan Aera Township bernilai RM828 juta di Kedah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Heng Guan Development (HGD) akan meneruskan pembangunan Aera Township di utara Sungai Petani, Kedah menerusi Fasa 2 dan Fasa 3 yang dijangka membabitkan kira-kira 1,000 lagi unit kediaman bertanah.

 

Pembangunan perbandaran itu yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM828 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang 2032.

 

Perkembangan tersebut menyusuli kejayaan HGD menyiapkan dan memulakan penyerahan Aera Gardens, iaitu fasa pertama pembangunan Aera Township yang membabitkan 129 unit rumah teres setingkat.

 

Kesemua unit dalam Aera Gardens telah habis dijual, dengan projek itu mula diserahkan kepada pembeli pada 1 September lalu.

 

Aera Township yang dilancarkan secara rasmi pada Ogos 2023 dibangunkan di atas kawasan seluas kira-kira 60.7 hektar (150 ekar) dan merangkumi kediaman bertanah serta lot kedai komersial.

 

Fasa Pertama Habis Dijual

Aera Gardens merupakan fasa pertama dalam pelan induk pembangunan tersebut, dengan setiap rumah mempunyai keluasan binaan sekitar 1,540 kaki persegi dan dilancarkan pada harga RM238,000 seunit.

 

Penyerahan rumah kepada pembeli menandakan satu pencapaian penting bagi pembangunan Aera Township sebelum HGD meneruskan pembangunan fasa-fasa berikutnya.

 

Sempena majlis penyerahan itu, setiap pemilik rumah turut menerima sebuah basikal daripada HGD yang mempunyai nilai simbolik tersendiri kerana sejarah kumpulan itu bermula daripada perniagaan basikal di Alor Setar yang diasaskan oleh Lim Heng Guan pada tahun 1920-an.

 

Gaya Hidup Aktif Dan Mampan

Ketua Pegawai Eksekutif HGD, Lim Tiong Haan berkata, perjalanan kumpulan itu bermula dengan basikal hampir satu abad lalu dan kini pihaknya mahu membawa simbolik tersebut kepada keluarga yang memulakan kehidupan baharu di Aera Township.

 

Beliau berkata, HGD mahu menjadikan Aera Township sebuah perbandaran yang menggalakkan penduduk menjalani gaya hidup aktif dan mampan, termasuk menggunakan basikal untuk membeli barangan keperluan, mengunjungi jiran atau ke kawasan komersial berhampiran.

 

Menurutnya, penduduk juga boleh meluangkan masa bersama keluarga di kawasan terbuka, selaras dengan hasrat syarikat untuk menjadikan kehidupan aktif dan mampan sebagai sebahagian daripada rutin harian komuniti di Aera Township. - DagangNews.com