KUALA LUMPUR 3 Sept - Prospek pendapatan AGX Group Berhad (AGX) dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2026 (2H26), didorong peningkatan operasi perniagaan logistik aeroangkasa mulai suku ketiga (3Q26), selain sumbangan lebih kukuh daripada syarikat bersekutu All-Link, kata Phillip Capital Research
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan operasi pelanggan utama seperti Malaysia Airlines (MAS), VietJet dan Sun PhuQuoc yang kini berada dalam fasa peningkatan operasi dijangka mempercepatkan sumbangan kepada AGX mulai 3Q26.
Pada masa sama, pelanggan baharu termasuk AirBorneo, Firefly dan SEAIR berpotensi memberikan pemacu pertumbuhan tambahan kepada segmen aeroangkasa kumpulan.
"AGX menyasarkan untuk menukar pelanggan baharu ini kepada kontrak perkhidmatan jangka panjang sebelum mengembangkan perniagaan ke Indonesia," katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam jangka panjang, prospek pertumbuhan organik AGX dilihat semakin kukuh apabila pelanggan syarikat penerbangan utamanya dijangka meningkatkan jumlah armada gabungan daripada 451 pesawat ketika ini kepada 1,516 pesawat menjelang 2035.
Perkembangan itu dijangka menyediakan keterlihatan pertumbuhan yang kukuh bagi perniagaan logistik aeroangkasa AGX.
All-Link beri sumbangan lebih besar
Sementara itu, All-Link dijangka mencatat pemulihan pendapatan yang lebih ketara pada 2H26, dengan pengurusan menyasarkan sumbangan syarikat bersekutu itu meningkat kepada sekitar RM3 juta setiap suku.
Jumlah tersebut hampir menyamai sumbangan RM3.9 juta yang direkodkan bagi keseluruhan 1H26.
Peningkatan itu dijangka disokong permintaan bermusim yang lebih kukuh serta sumbangan pelanggan baharu, selepas All-Link memperoleh tiga pelanggan baharu sepanjang 2025-26 dan menyasarkan satu hingga dua lagi kemenangan pelanggan menjelang akhir tahun ini.
All-Link juga merancang memasuki pasaran Vietnam dan Thailand, selain terdapat potensi untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan All-Link di China bersama rangkaian AGX di ASEAN bagi membangunkan aliran penghantaran rentas sempadan.
Firma penyelidikan itu turut melihat potensi pengambilalihan secara bolt-on di Malaysia dan Singapura sebagai satu lagi pemacu pertumbuhan kumpulan.
Susulan prospek pemulihan tersebut, firma penyelidikan mengekalkan penarafan 'Beli' terhadap AGX dengan harga sasaran (TP) 12 bulan tidak berubah pada RM0.84, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sasaran 10 kali ke atas EPS 2027.
AGX kini didagangkan pada PER hadapan sekitar 5 kali, yang dianggap menarik berikutan pengembangan kehadirannya di Asia Tenggara serta sumbangan All-Link yang semakin berkembang.
Firma penyelidikan kekal positif terhadap prospek pendapatan AGX, disokong peningkatan perniagaan logistik aeroangkasa dan sumbangan All-Link.
Bagaimanapun, risiko terhadap unjuran itu termasuk permintaan pengangkutan yang lebih rendah daripada jangkaan, penurunan kadar pengangkutan serta kehilangan pelanggan. - DagangNews.com








