KUALA LUMPUR 3 Sept – Syarikat keselamatan siber tempatan, DeltaSpike melantik Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab sebagai ahli Lembaga Pengarah bagi menyokong pengembangan perniagaan syarikat itu ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Pelantikan itu dibuat ketika DeltaSpike terus memperluaskan perniagaannya, selain mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh tadbir urus korporat, kepimpinan strategik dan kepakaran industri susulan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian keselamatan siber yang lebih canggih.
Dr. Amirudin adalah antara tokoh keselamatan siber terkemuka negara dengan pengalaman hampir tiga dekad merangkumi sektor kerajaan, industri serta kerjasama keselamatan siber di peringkat antarabangsa.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia selama 13 tahun dan memainkan peranan dalam menerajui agensi keselamatan siber negara itu bagi memperkukuh daya tahan siber dan kepercayaan digital Malaysia.
Kini, beliau turut berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Eksekutif dan Naib Presiden Persatuan Kepolisan Ruang Siber (Society for the Policing of Cyberspace - POLCYB), sebuah organisasi yang mempunyai Status Perundingan Khas dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC).
Pengalaman Luas Dalam Keselamatan Siber
Selain itu, beliau juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre - NFCC) serta profesor adjung di beberapa universiti tempatan.
Sumbangan beliau dalam bidang keselamatan siber turut mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Teknologis Negara 2024 dan Anugerah Ketahanan Siber ASEAN-Jepun 2024.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DeltaSpike, Taufik Othman berkata, pelantikan Dr. Amirudin akan membawa pengalaman dan kepakaran strategik yang penting kepada Lembaga Pengarah syarikat pada peringkat pertumbuhannya ketika ini.
“Pengalaman Dato' Dr. Amirudin dalam membentuk landskap keselamatan siber Malaysia serta penglibatan beliau di peringkat antarabangsa akan membantu DeltaSpike memperkukuh tadbir urus dan melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang.
“Langkah itu juga selaras dengan cita-cita DeltaSpike untuk menjadi antara syarikat keselamatan siber Malaysia yang mempunyai kehadiran semakin meluas di pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sokong Pengembangan Ke Pasaran Antarabangsa
Diasaskan di Malaysia, DeltaSpike menyediakan penyelesaian keselamatan siber bagi membantu organisasi memperkukuh keupayaan mereka menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks dan canggih.
Syarikat itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk operasi keselamatan terurus, khidmat nasihat keselamatan siber serta perkhidmatan keselamatan yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya kepada organisasi yang beroperasi dalam persekitaran kritikal dan dikawal selia.
DeltaSpike kini mempunyai operasi di Malaysia, Singapura dan Sri Lanka, selain mempunyai pengalaman melaksanakan projek di United Kingdom, Qatar dan Amerika Syarikat.
Syarikat itu terus memperluaskan kehadirannya di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah bagi membantu organisasi melindungi infrastruktur digital kritikal serta meningkatkan daya tahan terhadap ancaman siber. - DagangNews.com








