Phillip Capital: Peralihan model perniagaan OCK jejaskan sumbangan hasil berulang pada FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital: Peralihan model perniagaan OCK jejaskan sumbangan hasil berulang pada FY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 Sept — Langkah OCK Group Berhad beralih model perniagaan menjadi antara faktor sumbangan hasil berulang kumpulan susut kepada 48.7% pada FY26, menurut analisis Phillip Capital.

 

Angka itu rendah berbanding kadar sejarah iaitu 60%, susulan perubahan peranannya daripada berasaskan infrastruktur telekomunikasi tradisional kepada penyedia infrastruktur digital secara bersepadu.

 

Katanya, penurunan tersebut mencerminkan strategi kepelbagaian sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap model lama, khususnya segmen perhidmatan dan prasarana rangkaian (TNS).

 

"Perubahan model OCK itu namun menawarkan kelebihan kitaran kutipan hasil, dengan projek bukan di bawah pembiayaan Universal Service Provision (USP) boleh dibilkan lebih awal," jelas Phillip Capital.

 

Selain itu ujar firma penyelidikan berkenaan, hasil bil tersebut dapat dikutip dalam tempoh 30 hari selepas siap, berbanding projek USP yang kelazimannya hanya boleh dibilkan selepas kelewatan satu suku.

 

Perkembangan perniagaan baharu itu menunjukkan momentum kukuh apabila hasil tidak berulang daripada rumusan pusat data (DC), naik 55% pada FY26, manakala hasil rumusan digital melonjak lebih 100%.

 

OCK kata Phillip Capital, memiliki buku tempahan RM910 juta, meningkat lebih 100%, dengan 49% dijana TNS, rumusan tenaga dan perkhidmatan digital (23%) serta tenaga hijau dan fiberisasi (13%).

 

OCK_DagangNews2026

 

"Buku tender juga kekal kukuh RM1.6 bilion, terdiri rumusan tenaga (37%), perkhidmatan digital (32%), TNS (19%) dan fiberisasi (13%), yang menyokong prospek pertumbuhan kumpulan," tambahnya.

 

Peluang tender rumusan digital pula bernilai RM495 juta, meliputi projek Wi-Fi, bandar pintar dan kecerdasan buatan (AI), dengan momentum dalam projek pendigitalan kerajaan dilihat semakin kukuh.

 

Bagi JENDELA Fasa 2 melibatkan 3,000 lokasi dengan peruntukan RM800 juta, OCK ujar Phillip Capital, mengemukakan tender lebih RM100 juta, manakala potensi tambahan masih dalam proses penilaian.

 

Menurutnya, kumpulan juga kekal di kedudukan baik meraih manfaat peningkatan pelaksanaan 5G serta perbelanjaan infrastruktur digital, dipacu peralihan strategik ke arah model perniagaan bersepadu.

 

"Kami mengekalkan pandangan positif berdasarkan pertumbuhan hasil didorong kemajuan projek 5G dan kedudukan kumpulan ini sebagai antara penerima manfaat utama pelbagai projek kerajaan," katanya.

 

Justeru Phillip Capital terus mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham OCK dengan harga sasaran (TP) yang masih tidak berubah iaitu 75 sen sesaham berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP).

 

Namun ia mengingatkan risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan projek, pertumbuhan portfolio menara yang perlahan daripada jangkaan, margin rendah serta perubahan kawal selia. - DagangNews.com