Tune Protect tingkatkan kelestarian rumah anak yatim Sungai Pinang menerusi tenaga solar dan hidroponik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect tingkatkan kelestarian rumah anak yatim Sungai Pinang menerusi tenaga solar dan hidroponik

Inisiatif berteraskan kelestarian itu menggabungkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan dan aktiviti kesukarelawanan komuniti bagi membantu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan keupayaan rumah kebajikan tersebut untuk berdikari
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Tune Protect Group Berhad bekerjasama dengan Verdant Solar Holdings Berhad dan Sunway XFarms menerusi program ‘Sun & Roots: Towards A Greener Future’ bagi membantu meningkatkan kelestarian jangka panjang Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Sungai Pinang di Klang.

 

Inisiatif berteraskan kelestarian itu menggabungkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan dan aktiviti kesukarelawanan komuniti bagi membantu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan keupayaan rumah kebajikan tersebut untuk berdikari.

 

Menerusi kerjasama itu, Verdant Solar akan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) di bangunan pejabat dan asrama rumah kebajikan berkenaan manakala Sunway XFarms memperkenalkan sistem pertanian hidroponik kepada kanak-kanak di situ.

 

Tune Protect pula memainkan peranan dalam menggerakkan aktiviti kesukarelawanan dan penglibatan komuniti sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk mewujudkan manfaat sosial dan alam sekitar yang berpanjangan.

 

Program tersebut turut bertujuan meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai penjagaan alam sekitar, pengeluaran makanan secara mampan dan kepentingan keselamatan makanan.

 

t
Pemasangan solar membolehkan rumah kebajikan itu menjimatkan kos elektrik antara RM6,500 dan RM7,500 setahun seterusnya membantu meningkatkan kecekapan kos dalam jangka panjang

 

t

 

Tenaga Bersih Kurangkan Kos Elektrik

Komponen utama inisiatif itu ialah pemasangan sistem solar PV yang dirancang oleh Verdant Solar di dua bangunan rumah kebajikan tersebut.

 

Sistem berkapasiti 6.44 kilowatt puncak (kWp) akan dipasang di bangunan pejabat manakala sistem berkapasiti 9.2 kWp pula ditempatkan di bangunan asrama.

 

Pemasangan berkenaan akan membolehkan rumah kebajikan itu menjimatkan kos elektrik antara RM6,500 dan RM7,500 setahun seterusnya membantu meningkatkan kecekapan kos dalam jangka panjang.

 

Panel solar tersebut telah diserahkan secara simbolik ketika program kesukarelawanan sehari itu berlangsung, dengan pemasangan disasarkan siap menjelang akhir September dan pertengahan Oktober 2026 sebelum sistem beroperasi sepenuhnya.

 

Ketua Pegawai Strategi dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect Group Berhad, Koot Chiew Ling berkata kelestarian menjadi lebih bermakna apabila ia mampu memberikan manfaat nyata yang dapat dirasai masyarakat untuk tempoh jangka panjang.

 

t
Sukarelawan daripada Tune Protect, Verdant Solar dan Sunway XFarms mengambil bahagian dalam aktiviti landskap di Rumah Anak Yatim Sungai Pinang.

 

Pertanian Hidroponik Tingkatkan Kesedaran Kanak-Kanak

"Selain penggunaan tenaga bersih, Sunway XFarms turut menganjurkan bengkel kelestarian ‘Farming Made Fun’ bagi memperkenalkan kanak-kanak kepada pertanian hidroponik dan kepentingan keselamatan makanan.

 

"Melalui aktiviti praktikal seperti penanaman mikrohijau dan latihan pertanian mampan, kanak-kanak diberi peluang mempelajari cara menghasilkan makanan serta memahami kepentingan pengeluaran makanan secara bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

 

Program itu turut menghimpunkan lebih 60 sukarelawan daripada Tune Protect, Verdant Solar dan Sunway XFarms yang menyumbangkan masa mereka menerusi aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan.

 

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong, penambahbaikan kemudahan serta kerja-kerja landskap bagi memperbaiki ruang bersama dan persekitaran kediaman rumah kebajikan tersebut yang menempatkan 52 kanak-kanak serta dijaga oleh sembilan penjaga.

 

Tune Protect berkata, menerusi aspirasi kelestariannya, In Tune for a Better Tomorrow, kumpulan itu akan terus menyediakan peluang kepada kakitangannya untuk menyumbang kepada masyarakat melalui kerjasama yang mampu menghasilkan kesan sosial dan alam sekitar yang boleh diukur, termasuk komitmen menyumbang 6,000 jam kesukarelawanan antara 2025 hingga 2027. - DagangNews.com