KUALA LUMPUR 16 Feb – Prestasi keuntungan menyusut 15% bagi tahun kewangan 2025 (FY25) bukan penghalang kepada MGB Berhad mencatat prospek kukuh pada FY26 pula, menurut RHB Research.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut masih lagi mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham kumpulan berkenaan namun dengan harga sasaran (TP) yang diturunkan kepada 64 sen daripada 72 sen.
Katanya, syarikat tersebut merekodkan keuntungan teras FY25 sebanyak RM48.6 juta, merosot 15% tahun ke tahun (YoY), tetapi pencapaian tersebut sedikit mengatasi unjuran firma berkenaan pada 103%.
"Prestasi MGB pada FY25 yang lebih baik daripada jangkaan itu didorong margin keuntungan sebelum cukai (PBT) menerusi segmen hartanah yang lebih kukuh," kata RHB Research dalam notanya hari ini.
Jelasnya, walaupun ada pelarasan TP susulan kemas kini angka hutang bersih terkini, ia melihat potensi kenaikan 33% daripada paras semasa, dengan jangkaan hasil dividen sekitar 6% bagi FY26F.
Segmen pembangunan hartanah kekal penyumbang utama apabila mencatat PBT RM93.8 juta, meningkat 22.4% YoY, disokong penyerahan milikan kosong projek Idaman Melur serta kos pentadbiran rendah.
Margin PBT kata RHB Research, naik kepada 24% berbanding 15.8% pada FY24, tetapi segmen pembinaan merekodkan kerugian sebelum cukai iaitu RM20.2 juta berbanding keuntungan RM12.8 juta pada FY24.
"Ia berikutan beberapa projek seperti The Prestige, Kita Sejati dan Kita Mesra menghampiri fasa penyiapan, selain perbelanjaan lebih tinggi bagi perniagaan pratuang di Arab Saudi," jelasnya.
Firma itu menjangkakan pertumbuhan hasil purata tiga tahun (FY25 hingga FY28F) 10.5%, disokong projek Rumah Selangorku dan hartanah lain dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM1 bilion.
Setakat akhir FY25, buku tempahan terkumpul MGB bernilai RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada akhir FY24, dengan kontrak baharu dianggarkan RM700 juta selepas diambil kira pegangan efektif.
Keadaan ini kata RHB Research, dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi segmen pembinaan, dengan kumpulan itu turut mempunyai tender bernilai 800 juta riyal (RM837 juta) di Arab Saudi.
"Selain itu, MGB sudah meningkatkan peranan daripada sekadar pengeluar dan pembekal pratuang kepada kontraktor penuh, maka berdasarkan situasi ini kami memperkenalkan unjuran baharu FY28," katanya.
Sasaran pengisian semula kerja pada tahun itu dianggarkan RM550 juta, berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) dengan premium ESG adalah sifar, mengambil kira skor syarikat iaitu 3 daripada 4.
Dari sudut penilaian, RHB Research menyifatkan saham MGB sebagai tidak menuntut dengan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26 sekitar lima kali, iaitu satu sisihan piawai bawah purata lima tahun.
Antara pemangkin utama yang dikenal pasti termasuk pembangunan pantas Taman Perindustrian Kerteh, Terengganu dengan GDV dianggarkan RM747 juta, dan kontrak pembinaan tambahan di Johor Bahru, Johor.
"Bagaimanapun, ada risiko termasuk kemungkinan kelembapan tidak dijangka dalam pasaran hartanah yang boleh menjejaskan momentum jualan dan pelaksanaan projek," katanya. - DagangNews.com








