Untung I-Berhad meningkat 80% kepada RM77.1 juta bagi FY25 dipacu strategi pelbagai perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung I-Berhad meningkat 80% kepada RM77.1 juta bagi FY25 dipacu strategi pelbagai perniagaan

Lim Kim Hong (kanan) bergambar di AI World Experience Centre i-City di Shah Alam Selangor. - Foto ihsan I-Berhad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb – I-Berhad mencatat lonjakan 80% keuntungan sebelum cukai kepada sebanyak RM77.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025 (FY25) berbanding RM42.8 juta tahun sebelumnya.


Menurut kumpulan tersebut, perkembangan positif itu dipacu prestasi kukuh dalam semua segmen teras di bawah strategi pelbagai perniagaan, dengan hasil turut meningkat kepada RM322.6 juta. 


Situasi berkenaan jelasnya dalam satu kenyataan hari ini, disokong sumbangan seimbang daripada pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta segmen riadah dan hospitaliti kumpulan tersebut.


"Segmen pembangunan hartanah kekal penyumbang utama dengan hasil RM172.3 juta dan untung RM39.5 juta, mencerminkan keupayaan pengewangan projek dalam perancangan secara berdisiplin," katanya.


Pelaburan hartanah pula menjana pendapatan berulang stabil RM26.8 juta dengan keuntungan RM19.1 juta, manakala segmen riadah dan hospitaliti menyumbang RM120.6 juta dan keuntungan RM20.9 juta.


Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pencapaian itu membuktikan daya tahan model perniagaan syarikat walaupun dalam pendekatan operasi yang terukur, dengan aset sedia ada.


Prestasi suku keempat menunjukkan momentum kukuh apabila hasil melonjak 44% suku ke suku kepada RM117 juta, dipacu kemajuan pembinaan dan pengebilan dalam segmen pembangunan hartanah.


"Kumpulan ini masih ada baki nilai pembangunan kasar (GDV) RM5 bilion dalam perbandaran i-City, menyediakan landasan pertumbuhan jangka panjang dengan pelancaran projek baharu," jelas beliau.


Kim Hong menambah, fasa pertumbuhan seterusnya memberi tumpuan pengukuhan pendapatan berulang, peningkatan produktiviti aset serta integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik.


Katanya, melalui inisiatif AI World, yang digambarkan sebagai kawasan bandar berdaya AI pertama di Malaysia, I-Berhad merancang untuk mengintegrasikan infrastruktur digital, dan sistem pintar.


Selain itu ujar beliau, kumpulan tersebut berhasrat melaksanakan pengurusan berasaskan data di seluruh ekosistem i-City bagi meningkatkan lagi tahap kecekapan operasi dan prestasi aset.


"Kami turut merancang pembangunan menara kediaman 500 unit berdaya AI disasarkan siap pada 2030, sebagai platform komersial bagi pengintegrasian robotik humanoid dalam kehidupan bandar," katanya.


Dengan prospek ekonomi domestik yang stabil serta trend urbanisasi berterusan, I-Berhad menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap prestasi masa hadapan, disokong rekod pelaksanaan kukuh.


Di samping itu jelas Kim Hong, kumpulan berkenaan juga memberi tumpuan kepada saluran pembangunan yang besar bagi menjana nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan. - DagangNews.com