KUALA LUMPUR 13 Feb – Top Glove Corporation Bhd Glove wajar dipertimbangkan untuk dimasukkan semula ke dalam FTSE4Good Bursa Malaysia Index (F4GBM) seawal semakan Mei 2026, memandangkan penilaian ESG menunjukkan prestasi syarikat lebih kukuh berbanding syarikat pengeluar sarung tangan getah yang lain.
CGS International berkata penilaian itu disokong oleh pencapaian syarikat dalam Anugerah Tadbir Urus Korporat dan Kelestarian Nasional 2025 (NACGSA 2025) pada 20 Januari lalu, apabila ia muncul penerima anugerah kecemerlangan keseluruhan, walaupun masih belum tersenarai dalam F4GBM.
Tambah firma penyelidikan itu, dalam kalangan pengeluar sarung tangan Malaysia di bawah liputan CGSI, Top Glove merupakan satu-satunya syarikat yang tidak dimasukkan dalam F4GBM, meskipun memenuhi kriteria kelayakan termasuk keanggotaan dalam indeks EMAS, skor ESG LSEG melebihi 3.7 serta skor kontroversi ESG bertaraf A+ setakat Disember 2025.
“Sebagai perbandingan, pesaingnya seperti Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd telah pun tersenarai dalam F4GBM.
“Namun, analisis CGSI mendapati Top Glove mencatat penarafan lebih baik merentas beberapa agensi penarafan ESG utama.
“Kami berpandangan pasaran masih belum sepenuhnya menilai peningkatan dalam aspek tadbir urus korporat Top Glove dan sebaliknya terus menghukum saham berkenaan susulan isu sejarah lampau yang telah diselesaikan sepenuhnya,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Top Glove sebelum ini digugurkan daripada F4GBM pada Jun 2021 susulan penemuan pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat berhubung dakwaan buruh paksa.
Bagaimanapun, audit bebas mengesahkan kesemua 11 indikator buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah ditangani dan larangan import oleh pihak berkuasa AS ditarik balik pada September 2021.
CGSI menganggarkan sekiranya dimasukkan semula ke dalam F4GBM, saham Top Glove berpotensi mencatat kenaikan harga sekitar 3.3% menjelang akhir FY26F, disokong sentimen ESG yang lebih positif serta prestasi relatif indeks tersebut yang mengatasi penanda aras utama pasaran sebelum ini.

Sehubungan itu, CGSI menaikkan penarafan Top Glove kepada Tambah berbanding Pegang sebelum ini dengan harga sasaran baharu RM0.67 berasaskan model Gordon Growth (GGM), lebih rendah daripada RM0.71 sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, semakan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelarasan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26F/FY27F/FY28F sebanyak +3.3%/-3.6%/-6.5% sejajar dengan pandangan sektor dan persekitaran makroekonomi semasa.
Dari sudut asas, CGSI menyemak unjuran keuntungan bersih FY26F/FY27F/FY28F kepada RM197.8 juta, RM303.6 juta dan RM404.4 juta, masing-masing berubah sebanyak +3.3%, -3.6% dan -6.5% berbanding unjuran terdahulu.
Semakan itu mengambil kira trajektori pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, memandangkan 100% hasil Top Glove adalah berdenominasi dolar AS.
Menurut CGSI, jika ringgit mengukuh sebanyak 10% berbanding dolar AS, anggaran keuntungan bersih teras Top Glove bagi FY26F dijangka berkurang sekitar 7%, dengan syarat faktor lain kekal sama.
Bagi mengimbangi kesan mata wang, syarikat telah menaikkan harga jualan purata (ASP) pada 4QFY25, walaupun langkah itu berisiko menjejaskan permintaan.
Bagaimanapun pertumbuhan volum dianggarkan sebanyak 35% bagi FY26F dan masing-masing 2% untuk FY27F serta FY28F.
Dengan harga semasa RM0.585 sesaham, CGSI melihat potensi pulangan keseluruhan pemegang saham (TSR) sekitar 17% ke arah TP RM0.67, bersandarkan jangkaan pemulihan lebih pantas berbanding pesaing tempatan serta penilaian semula nisbah harga kepada pendapatan (P/E) daripada 12.2 kali FY28F kepada sasaran 13.6 kali.
Antara pemangkin penarafan semula termasuk pengurangan kapasiti legasi bagi menurunkan kos serta perubahan struktur tarif global yang memihak kepada pengeluar Malaysia, manakala risiko utama merangkumi persaingan harga daripada pemain China, penyusutan lanjut dolar AS dan kekangan tenaga kerja asing. - DagangNews.com








