KUALA LUMPUR 19 Feb – Penutupan sebahagian laluan di Selat Hormuz oleh Iran dalam tempoh beberapa jam sahaja, mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kestabilan bekalan tenaga global.
Menurut MBSB Research, tindakan negara tersebut mengadakan latihan ketenteraan, ternyata memberi kesan besar kerana laluan strategik itu mengendalikan 20% aliran minyak dunia pada ketika ini.
Firma penyelidikan itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu taktikal jarang berlaku, namun terhad dari segi tempoh dan skop, tanpa gangguan berterusan terhadap penghantaran minyak mentah.
"Meskipun insiden ini meningkatkan risiko geopolitik dan mendorong kenaikan harga dalam jangka pendek, asas penawaran dan permintaan global kekal tidak berubah," katanya dalam nota hari ini.
Setakat ini jelas MBSB Research, tiada laporan gangguan material terhadap perkapalan komersial, dan menunjukkan pendekatan lebih bersifat pencegahan berbanding konfrontasi secara langsung.
Ia merujuk ketegangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dengan Selat Hormuz pula menghubungkan Teluk Parsi ke Laut Oman serta merupakan antara laluan terpenting di dunia.
Negara pengeksport utama seperti Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar dan Iran sendiri bergantung kepada laluan ini untuk penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG).
"Walaupun terdapat kapasiti paip alternatif secara terhad di Arab Saudi dan UAE, majoriti volum minyak mentah masih belum ada laluan pintasan yang dianggap berdaya maju," jelas MBSB Research.
Justeru kata firma penyelidikan tersebut, sebarang gangguan walaupun hanya sementara, dikhuatiri memberi kesan signifikan kepada sentimen pasaran dalam sektor minyak dan gas (O&G) antarabangsa.
Bagaimanapun, ia berpandangan bahawa sejarah sebelum ini menunjukkan gangguan berpanjangan jarang berlaku berikutan implikasi ekonomi dan ketenteraan skala besar kepada semua pihak yang berkaitan.
MBSB Research menambah, susulan insiden tersebut, niaga hadapan minyak penanda aras antarabangsa, Brent melonjak apabila melepasi paras AS$70 (kira-kira RM273.84) setong sebelum kembali stabil.
"Harga minyak secara keseluruhan namun masih bergerak dalam julat AS$60 (RM234.72) setong dan kekal jauh di bawah paras tertinggi setahun iaitu USD82 (RM320.79) setong," kata firma tersebut.
Oleh itu, ia menegaskan yang kenaikan semasa kali ini lebih mencerminkan situasi premium risiko geopolitik jangka pendek berbanding perubahan struktur dalam asas pasaran sektor O&G sendiri.
Selain itu, MBSB Research melihat lebihan bekalan minyak mentah secara struktur menjadi faktor utama mengehadkan kenaikan mampan harga, walaupun ada lonjakan didorong ketegangan geopolitik.
Sehubungan itu, firma poenyelidikan berkenaan masih terus mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor tersebut berikutan persekitaran makroekonomi yang dinilai sebagai mencabar industri.
"Kami turut mengekalkan Dialog Group Berhad sebagai pilihan utama sektor O&G dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) yang tidak berubah iaitu RM2.17 sesaham," tambahnya dalam analisis itu.
Menurut MBSB Research, pendedahan syarikat tersebut dalam segmen pertengahan, sekali gus menjana aliran tunai stabil dan berulang yang kurang sensitif kepada turun naik harga minyak mentah dunia.
Dalam persekitaran harga minyak yang kekal tertekan dan tidak menentu, firma tersebut mengutamakan syarikat dengan profil pendapatan bersifat lebih defensif dan jaminan keterlihatan hasil tinggi.
Secara keseluruhan, ia berpandangan insiden di Selat Hormuz ini bersifat taktikal dan dijangka memberi kesan jangka pendek melainkan berlaku gangguan berterusan di rantau berkenaan. - DagangNews.com








