KUALA TERENGGANU 16 Feb –Terengganu akan memasang 200 unit Tiang Pintar (Intelligent Pole) 5G secara berperingkat di lokasi-lokasi tumpuan sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan bandar pintar.
Buat permulaan, lokasi pertama yang dijadikan projek perintis ialah di Pasar Kedai Payang.
Projek ini bertujuan mempercepatkan transformasi digital negeri dan menjadikan kawasan perbandaran lebih moden, selesa dan efisien.
Tiang pintar ini bukan sekadar tiang lampu biasa sebaliknya ia direka sebagai hab bersepadu yang menghimpunkan pelbagai fungsi pintar dalam satu struktur, membolehkan penggunaan ruang bandar lebih optimum dan menyokong operasi bandar moden.
Antara fungsi utama tiang pintar ialah sebagai Smart CCTV bagi meningkatkan keselamatan awam, Smart Lighting yang dikawal secara automatik untuk penjimatan tenaga, serta paparan digital yang membolehkan maklumat penting disampaikan kepada orang ramai dengan mudah.
Selain itu, tiang ini juga dilengkapi sensor cuaca dan pengesanan pencemaran, membolehkan pihak berkuasa memantau keadaan alam sekitar dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku pencemaran udara atau perubahan cuaca ekstrem.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata setiap tiang juga menyediakan kemudahan pengecas kenderaan elektrik, selaras dengan agenda mobiliti hijau dan penggunaan teknologi rendah karbon untuk menyokong pembangunan bandar pintar yang lestari dan mesra alam.
“Projek pemasangan tiang pintar itu dijalankan melalui kerjasama MBI Modal Sdn. Bhd, TM Technology Services Sdn. Bhd dan Colla Connecting Edge Sdn. Bhd.
“Bahagian Kerajaan Tempatan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut bertindak sebagai pemudah cara di peringkat lapangan, memastikan pemasangan tiang berjalan lancar, selamat dan mengikut jadual, termasuk pengurusan lokasi dan koordinasi dengan komuniti setempat.
“Inisiatif ini diterajui melalui kerangka TNEXT, yang menjadi asas kepada pembangunan bandar pintar Terengganu,” katanya.
TNEXT membantu memastikan integrasi sistem 5G, pengurusan data pintar dan operasi bandar yang efisien dapat dijalankan dengan baik.
Dengan 200 tiang pintar ini, operasi perbandaran dijangka menjadi lebih efisien, selamat dan mudah diurus.
Data dan maklumat yang dikumpul boleh digunakan untuk perancangan bandar, pemantauan keselamatan dan pengurusan tenaga, menjadikan Terengganu setanding dengan bandar pintar antarabangsa. - DagangNews.com








