TA Securities naikkan 2.3% unjuran hasil Velesto bagi FY26 susulan pelantar Naga 8 raih kadar sewaan tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities naikkan 2.3% unjuran hasil Velesto bagi FY26 susulan pelantar Naga 8 raih kadar sewaan tinggi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiVelesto Energy Berhad berpotensi besar mencatat prestasi yang lebih kukuh dengan TA Securities turut menaikkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut bagi FY26 sebanyak 2.3%.

 

Penilaian itu dipacu kadar sewaan harian (DCR) pelantar Naga 8 yang lebih tinggi daripada jangkaan awal, sekali gus meredakan kebimbangan pasaran susulan penamatan kontrak jangka panjang sebelum ini.

 

Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap sambil menaikkan harga sasaran (TP) kepada 36 sen sesaham daripada 35 sen, selepas menyemak naik unjuran hasil syarikat tersebut.

 

"Kontrak baharu itu diraih Velesto Energy daripada Chevron Malaysia bagi penyediaan perkhidmatan pembangunan penuh medan minyak North Malay Basin dari 2026 hingga 2028," jelas TA Securities lagi.

 

Tender bernilai AS$51 juta (RMM208 juta) itu bermula Ogos 2026 dan berlangsung selama 18 bulan, sebaik sahaja Naga 8 menamatkan operasi penggerudian bersama Jadestone Energy pada akhir bulan ini.

 

Selain itu, ia merupakan tugasan pertama Naga 8 selepas penamatan kontrak jangka panjang dengan PC Ketapang II Ltd, PC North Madura II Ltd dan PETRONAS North Ketapang Sdn Bhd pada 20 Julai 2026.

 

Velesto Energy_DagangNews2026

 

Berdasarkan nilai semasa, TA Securities menganggarkan DCR pelantar itu ialah AS$94,000 (RM384,290) sehari, daripada anggaran AS$90,000 (RM367,937) sehari di bawah kontrak Velesto Energy terdahulu.

 

"Peningkatan kadar ini berpunca daripada tempoh kontrak yang lebih singkat, namun ia masih sejajar dengan kadar pasaran semasa bagi pelantar premium jack-up di Asia Tenggara," tambah firma tersebut.

 

Selepas tamat, Naga 8 berada pada kedudukan baik meraih tender baharu dengan DCR tinggi, disokong peningkatan berterusan aktiviti penerokaan dan pengeluaran (E&P) minyak dan gas (O&G) rantau ini.

 

Sehubungan itu, TA Securities menaikkan unjuran pendapatan Velesto Energy bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 2.3%, setelah diambil kira DCR untuk kontrak baharu yang melebihi jangkaan asal.

 

Ujarnya, TP baharu ditentukan berdasarkan penilaian 15 kali gandaan pendapatan sesaham (EPS) CY27, termasuk premium ESG sebanyak 3%, yang mencerminkan prospek hasil syarikat semakin kukuh.

 

"Kami berpendapat kontrak baharu itu bukan sahaja menghapuskan risiko tempoh pelantar Naga 8 tidak digunakan, malah meningkatkan keterlihatan pendapatan sehingga FY28," katanya. - DagangNews.com