KUALA LUMPUR 9 Julai – SRKK AI Bhd memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan prestasi memberangsangkan apabila harga saham syarikat itu dibuka pada 60 sen sesaham, meningkat 88% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 32 sen.
Saham syarikat perkhidmatan teknologi maklumat itu kemudian didagangkan pada 57.5 sen sesaham, dengan lebih 43 juta saham bertukar tangan dalam tempoh 15 minit pertama selepas loceng pembukaan pasaran.
Pergerakan tersebut menunjukkan minat pelabur yang tinggi terhadap kaunter baharu berkenaan dan ia bermula sejak Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang terlebih langgan sebanyak 312.3 kali iaitu kadar terlebih langgan tertinggi bagi IPO di Bursa Malaysia setakat tahun 2026
Berdasarkan harga dagangan terakhir tersebut, SRKK AI mencatatkan permodalan pasaran kira-kira RM163 juta.
Daripada jumlah dana yang diperoleh menerusi penyenaraian itu, sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan bagi memperkukuh inisiatif kecerdasan buatan (AI), termasuk penubuhan makmal AI, akademi AI serta pembangunan penyelesaian analitik data dan risikan perniagaan berasaskan AI.
ARTIKEL BERKAITAN: Segmen perkhidmatan awan sokong pendapatan SRKK AI cecah RM31 juta pada 1QFY26
Selain itu, SRKK AI mahu menggunakan RM1.84 juta untuk pengembangan operasi ke Indonesia, RM3.7 juta bagi pembangunan Pusat Operasi Keselamatan, RM1.8 juta untuk aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, RM4.64 juta sebagai modal kerja serta RM4.5 juta bagi menampung kos berkaitan penyenaraian.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, penyelesaian berasaskan AI menyumbang kira-kira 11% daripada jumlah hasil syarikat atau RM11.8 juta, mencerminkan peranan semakin penting segmen tersebut dalam pertumbuhan perniagaan SRKK AI.
Syarikat itu turut menetapkan dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 20% daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.
SRKK AI menyediakan rumusan transformasi digital menyeluruh kepada perusahaan dengan mengintegrasikan teknologi AI dalam keseluruhan kitaran hayat teknologi maklumat (IT), termasuk keselamatan siber, aliran kerja perniagaan, pengkomputeran awan, pembangunan perisian serta analitik.
Syarikat berkenaan juga merupakan antara Rakan Kongsi Terurus Microsoft (Microsoft Managed Partner) dan penyedia penyelesaian pertama dari Malaysia yang memperoleh kesemua enam pengiktirafan Microsoft Solution Partner di bawah program Microsoft AI Cloud Partner Program. - DagangNews.com








