KUALA LUMPUR 8 Julai — SRKK AI Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM31.42 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, yang sebahagian besarnya disokong oleh segmen perkhidmatan awan.
Kata kumpulan penyedia rumusan transformasi digital tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, segmen berkenaan merupakan penyumbang utama dengan mewakili 45.05% daripada keseluruhan hasil.
Ini jelasnya lagi, diikuti oleh jualan produk perkakasan dan perisian IT yang merangkumi kira-kira 32.14% serta perkhidmatan perundingan teknologi maklumat (IT) dan pelaksanaan projek (12.31%).
"Bagi tempoh itu, SRKK AI mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.32 juta, setelah diambil kira kos penyenaraian berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat ini," katanya.
Bagaimanapun jelas kumpulan tersebut, sekiranya kos penyenaraian berkenaan tidak diambil kira, keuntungan bersih pelarasan syarikat sebenarnya adalah lebih tinggi iaitu sebanyak RM2.02 juta.
Dari sudut geografi, pasaran Malaysia menyumbang pendapatan kira-kira RM23.59 juta, manakala operasi di Singapura menjana RM7.61 juta, dengan model perniagaan mampan daripada hasil berulang.
SRKK AI bakal disenaraikan secara rasmi di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 Julai 2026, dan melalui penerbitan IPO, syarikat menyasarkan untuk dapat mengumpul dana kasar sebanyak RM20.48 juta.
"Hasil itu bagi membiayai inisiatif pertumbuhan strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), termasuk penubuhan makmal dan akademi kecerdasan buatan (AI) serta sebuah pusat operasi," katanya.
Setakat 29 Jun 2026, syarikat mempunyai tempahan kerja yang kukuh bernilai RM31.78 juta, dan pihak pengurusan menyatakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Penilaian positif berkenaan ujar SRKK AI, selaras dengan trend peningkatan permintaan terhadap rumusan transformasi digital di seluruh rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com








