UST jalin kerjasama dengan Anthropic, latih 20,000 pekerja kuasai AI Claude | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UST jalin kerjasama dengan Anthropic, latih 20,000 pekerja kuasai AI Claude

Manu Gopinath (kiri) dan Krishna Sudheendra (kanan)
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – UST menjalin kerjasama strategik dengan Anthropic bagi mengintegrasikan teknologi AI Claude ke dalam platform, perkhidmatan kejuruteraan dan operasinya, selain menyasarkan latihan kepada 20,000 pekerja di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat transformasi berteraskan AI.

 

Melalui kerjasama itu, UST akan mengintegrasikan model AI Claude yang dibangunkan Anthropic ke dalam platform pelanggannya di seluruh dunia termasuk sektor perbankan, telekomunikasi, pembuatan dan penjagaan kesihatan.

 

UST berkata, penggunaan Claude yang digabungkan dengan kepakaran UST membolehkan pelanggan mengautomasikan pelbagai tugasan yang sebelum ini dilakukan secara manual, selain membantu membuat analisis dan keputusan dengan lebih pantas.

 

Kerjasama itu juga memperkukuhkan kedudukan UST sebagai Rakan Kongsi Premier Global dalam Rangkaian Rakan Kongsi Claude yang akan meningkatkan keupayaannya membantu organisasi beralih daripada sekadar menguji penggunaan AI kepada pelaksanaan berskala besar dalam pelbagai bidang perniagaan.

 

Dalam sektor industri, UST akan mengintegrasikan Claude ke dalam platform kejuruteraan yang digunakan oleh syarikat semikonduktor, automotif, pembuatan, telekomunikasi dan Internet Benda (IoT).

 

t

 

Teknologi itu dijangka membantu jurutera mengesan kelemahan reka bentuk lebih awal, mempercepatkan proses pengesahan cip semikonduktor serta menghubungkan perkakasan dan perisian dalam satu sistem yang merangkumi operasi di kilang sehingga ke lapangan.

 

UST berkata, antara platform yang menerima manfaat daripada kerjasama itu ialah UST-iDEC yang digunakan bagi proses pengesahan perkakasan dan cip semikonduktor. Platform tersebut kini mampu mengurangkan tempoh proses sehingga 50 hingga 70 peratus dengan memendekkan kitaran kerja daripada empat hari kepada hanya 48 jam menerusi saluran pengesahan automatik.

 

Dengan Claude bertindak sebagai lapisan penaakulan (reasoning layer), platform itu  mampu mempercepatkan lagi proses pengesahan, mengurangkan keperluan penulisan skrip secara manual serta mengesan masalah perkakasan, perisian firmware dan integriti isyarat pada peringkat lebih awal tanpa memerlukan alat tambahan.

 

Dalam sektor penjagaan kesihatan pula, UST akan menggabungkan Claude dengan platform CarePath bagi memperkemaskan pengurusan pesakit, perkhidmatan pelanggan dan tuntutan untuk membantu petugas membuat keputusan dengan lebih pantas berdasarkan data masa nyata.

 

Bagi industri telekomunikasi, Claude akan digunakan dalam platform IntelliOps untuk membantu pengendali mengesan gangguan rangkaian lebih awal, meramalkan kegagalan Rangkaian Akses Radio (RAN) serta mengurangkan tempoh gangguan perkhidmatan menerusi aliran kerja yang telah diluluskan.

 

Dalam sektor perbankan pula, Claude akan dipadankan dengan platform FinX bagi mempercepatkan proses pembukaan akaun, mengautomasikan pemprosesan dokumen dan memudahkan kakitangan mengakses maklumat akaun serta pematuhan yang membantu institusi kewangan memodenkan sistem lama tanpa menambah beban kerja pasukan.

 

Selain menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, UST turut memperluaskan penggunaan Claude dalam operasinya sendiri meliputi pengurusan kontrak, perundangan, sumber manusia, pemasaran, infrastruktur teknologi dan kewangan bagi mengurangkan proses manual serta memberi lebih ruang kepada pekerja menumpukan kepada tugasan yang memerlukan pertimbangan dan kreativiti.

 

t

 

Sebagai sebahagian daripada transformasi itu, UST menyasarkan untuk melatih dan memperakui 20,000 kakitangannya di seluruh dunia dalam penggunaan Claude, termasuk arkitek sistem, jurutera, perunding, pakar industri dan jurutera yang ditempatkan bersama pelanggan bagi membangunkan penyelesaian AI pada skala perusahaan dengan sokongan latihan, bimbingan teknikal dan pensijilan daripada Anthropic.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UST, Krishna Sudheendra berkata, kerjasama dengan Anthropic mencerminkan komitmen syarikat untuk membantu pelanggan memanfaatkan AI dengan lebih yakin melalui gabungan keupayaan Claude, kepakaran kejuruteraan dan pengetahuan industri UST bagi meningkatkan produktiviti, mempercepatkan hasil perniagaan serta melaksanakan keputusan berasaskan AI dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.

 

Presiden UST, Manu Gopinath pula berkata Claude akan diintegrasikan dalam cara UST mereka bentuk, membangunkan dan mengendalikan penyelesaian merangkumi perkhidmatan perundingan, platform, kejuruteraan serta pelbagai penyelesaian industri.

 

Menurutnya, kerjasama itu turut mempercepatkan transformasi UST menjadi organisasi berteraskan AI yang berasaskan kepercayaan, pemantauan manusia dan impak jangka panjang kepada pelanggan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Anthropic, Paul Smith berkata, UST membuktikan keupayaannya menggunakan Claude dalam operasi kejuruteraan sendiri sebelum memperluaskan penggunaannya kepada pelanggan. - DagangNews.com