KUALA LUMPUR 8 Julai – UDA Holdings Berhad membangunkan tanah wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang menerusi projek Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah yang dijangka siap pada 2027.
Projek tersebut dibangunkan melalui kerjasama antara UDA dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebagai usaha memanfaatkan tanah wakaf yang berpotensi untuk pembangunan hartanah.
Ketua Pegawai Operasi UDA Land (North) Sdn Bhd, Ir Shahrul Arizan Mohamad Adnan berkata projek yang dilancarkan pada Julai 2023 itu merupakan kesinambungan kepada pembangunan terdahulu iaitu Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah dan Taman Wakaf Seetee Aisah.
Menurut beliau, Amaanee Residences dibangunkan dengan konsep ketenangan dan kesederhanaan, selain menekankan aspek keselesaan serta aksesibiliti bagi memenuhi keperluan pembeli rumah masa kini.
“Pembangunan yang dilaksanakan secara berfasa menerusi pusat komersial, rumah wakaf serta perumahan kos sederhana bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat, malah membantu merealisasikan potensi aset wakaf untuk manfaat ummah secara lebih menyeluruh dan mampan.
"Pembangunan berfasa yang dilaksanakan UDA turut meningkatkan nilai tanah wakaf Seetee Aisah daripada sekitar RM34 juta kepada kira-kira RM42 juta, manakala hasil tahunan meningkat daripada kira-kira RM200 kepada sekitar RM3.36 juta.
“Peningkatan hasil tersebut membantu memperluaskan manfaat wakaf dalam membantu lebih ramai penerima yang memerlukan menerusi pelbagai bentuk sumbangan dan impak yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Amaanee Residences merupakan pangsapuri setinggi 40 tingkat yang menawarkan 410 unit kediaman dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, berkeluasan antara 950 kaki persegi hingga 1,100 kaki persegi dengan harga bermula RM299,991.
Terletak di Seberang Jaya, projek itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, taman permainan, taman asuhan kanak-kanak, tempat letak kenderaan berbumbung, dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah serta sistem keselamatan berpagar dan berpengawal.
Lokasi projek berdekatan beberapa laluan utama seperti Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dan Terminal Pengangkutan Penang Sentral.
Selain itu, ia juga terletak berhampiran kemudahan awam serta institusi pendidikan termasuk Hospital Seberang Jaya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh dan Politeknik Seberang Perai. - DagangNews.com








